Penyanyi dan penulis lirik Aizat Amdan mengakui terkejut apabila mengetahui peningkatan jumlah masyarakat yang mengalami masalah sakit mental akibat tekanan hidup.

Aizat Amdan atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 28, berkata, dia mengetahui perkara itu selepas berkunjung ke wad pesakit mental, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), untuk melakukan rakaman slot video log (Vlog) di YouTube miliknya.

"Saya melihat perkara ini bukan sesuatu yang remeh kerana ia berkait rapat dengan kejiwaan dan saya terkejut apabila mengetahui pesakit yang mengalami masalah ini ramai daripada golongan muda.

"Ada juga rakan-rakan terdekat saya yang mengalami masalah tekanan perasaan sehingga membuatkan saya tergerak hati untuk selami hati mereka yang berada di sana menerusi Vlog pada episod akan datang.

"Sekurang-kurangnya dengan perkongsian ini dapat membantu mereka yang mengalami masalah tersebut untuk mengambil langkah pencegahan awal dengan mendapatkan rawatan.

"Tujuan saya mengambil keputusan kembali aktif dengan Vlog adalah untuk menceritakan mengenai kehidupan peribadi, kerjaya seni dan aktiviti dilakukan dengan peminat," katanya kepada Astro Gempak.

Aizat berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Vlog dan muzik video Jangan Menangis di Warner Music Malaysia, Damansara, pada Khamis.

Untuk menyaksikan pelbagai video yang dikongsikan oleh Aizat, anda boleh menontonnya di saluran YouTube @officialAizatAmdan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi