Peserta Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017), Sharifah Shahirah akui tidak mudah untuk memikat hati golongan muda menonton persembahannya Jumaat ini.

Bagaimanapun, Shahirah atau lebih mesra dengan panggilan Shiera berkata perkara itu tidak melemahkan semangatnya untuk beraksi dan berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik.

“Saya tidak boleh jangka berapa lama akan bertahan dalam program ini tapi saya akan lakukan yang terbaik.

“Kadang-kadang walaupun orang itu berbakat tetapi jika orang tidak suka pun kita nak cakap apa?

“Saya akui nak pikat hati golongan muda agak sukar kerana zaman kami berbeza jadi sebagai persediaan saya kena tahu persepsi budak-budak zaman sekarang terima lawak yang bagaimana,” katanya kepada Astro Gempak.

Shiera ditemui pada majlis sidang media program Super Spontan Superstar 2017 yang berlangsung di The Garage Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Shiera lagi dia begitu seronok menyertai SSS2017 bersama dengan Amy Mastura.

“Saya tidak tahulah sama ada saya ini bagus atau tidak tapi apa yang pasti saya rasa seronok dapat bersama Amy.

“Tengok Amy Mastura masuk, saya pun cubalah juga. Saja mahu suka-suka dengan rakan-rakan yang lain.

“Dengan para peserta lain pun saya okay dan tidak kekok sebab kami memang dah selalu jumpa. Saya pun kena banyak belajar dengan mereka kerana majoriti peserta sudah biasa dengan konsep SSS 2017,” ujarnya.

Shiera menyertai kumpulan Tenggiling Taiko yang diketuai oleh Achey Bochey dianggotai oleh Rahim, Sharif Zero, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Daniel dan Ozlynn.

Manakala kumpulan King Musang pula dianggotai oleh Shuib Sepahtu (ketua kumpulan), Shuk SYJ, Atu Zero, Fad Bocey, Kamal Adli, Fikry, Zulin Aziz dan Amy Mastura.

Super Spontan Superstar 2017 akan bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Mya Amri