Pelakon filem Tombiruo, Farid Kamil berpendapat media sosial bukanlah penanda aras untuk mengukur kebahagiaan seseorang.

Farid berkata kekerapan memuat naik foto untuk menayangkan kebahagian bersama isteri di Instagram bukanlah satu keperluan.

“Pada saya mereka hanya memberikan pandangan mereka, apa sahaja yang mereka ingin komen itu adalah hak mereka.

"Saya tidak mahu menjadikan Instagram itu sebagai penanda aras kebahagiaan rumah tangga saya.

"Jadi saya akan muat naik apa yang saya rasa nak ‘post’ dan posting itu bukan bertujuan untuk membukti sesuatu kepada orang lain.

"Alhamdulillah kami bahagia, tidak ada masalah kritikal cuma perkara kecil-kecil itu biasalah, sebagai suami isteri perkara itu normal,” katanya.

Farid ditemui selepas majlis pelancaran filem Tombiruo: Penunggu Rimba bertempat di Publika, Kuala Lumpur pada Selasa.

Selain Farid, filem itu turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Hasnul Rahmat, Artu, Michael Chen, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa dan Muhammad Al-Rayyan.

Filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam bermula pada 12 Oktober depan.

Terdahulu, timbul spekulasi yang mengatakan Farid Kamil dan Diana Danielle tidak bahagia dan meraikan Hari Raya Aidilfitri secara berasingan.

Diana bagaimanapun menerusi satu kenyataan menjelaskan mereka tidak meraikan Aidilfitri bersama kerana perlu menjaga ibunya yang dijangkiti demam denggi.

Foto: Instagram Farid Kamil

Teks oleh: Mya Amri