Pelakon dan pengacara Sharifah Shahirah akui sering disangka hamil akibat pertambahan berat badan selepas melahirkan anak kelimanya November lalu.

Shahirah atau lebih mesra dengan panggilan Shiera mendedahkan berat badannya naik sebanyak enam kilogram.

"Tak adalah, mana ada hamil ini namanya buncit, berat badan saya naik selepas lahirkan Adeena.

"Dulu masa bersalin tak pernah berat naik, tapi untuk anak bongsu ini lain pula jadinya. Mungkin sebab faktor usia juga, dah cecah 40 tahun la katakan.

"Lepas pantang berat saya 58 kilogram tapi sekarang dah mencecah 64 kilogram," katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Shiera ditemui pada majlis sidang media program Super Spontan Superstar 2017 yang berlangsung di The Garage Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Shiera lagi dia pernah cuba untuk melakukan diet dengan tidak menjamah nasi namun tidak berjaya.

"Masa mula-mula itu pernah juga saya cuba untuk tidak makan nasi tapi tak menjadi.

"Saya kerap rasa pening dan sakit kepala, selepas itu bila saya makan nasi terus rasa okay.

"Suami saya pun sarankan saya makan nasi supaya tidak alami pening kepala yang berterusan," katanya ketawa.

Dalam perkembangan lain, Shiera terlibat dengan program Super Spontan Superstar 2017 yang akan bersiaran pada 8 September ini.

Shiera menyertai kumpulan Tenggiling Taiko yang diketuai oleh Achey Bochey dianggotai oleh Rahim, Sharif Zero, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Daniel dan Ozlynn.

Manakala kumpulan King Musang pula dianggotai oleh Shuib Sepahtu (ketua kumpulan), Shuk SYJ, Atu Zero, Fad Bocey, Kamal Adli, Fikry, Zulin Aziz dan Amy Mastura.

Super Spontan Superstar 2017 akan bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Mya Amri