Temasya dwitahunan Sukan Sea ke-29 KL2017 telah melabuhkan tirainya malam tadi.

Sambutan gilang-gemilang kali ini merupakan hadiah terbesar buat Malaysia; selain memenangi 145 pingat emas melebihi ekspektasi awal, malam yang sama juga menjadi titik sejarah sambutan Hari Kebangsaan kali ke-60.

Dua sambutan serentak, sudah pasti ada pelbagai momen indah dan menarik yang patut sama diraikan.

Berikut kami kongsikan beberapa perkara menarik yang mungkin tidak dapat disaksikan di kaca televisyen sepanjang Upacara Penutup Sukan Sea ke-29 KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

1) Preshow bermula pada pukul 8.30 malam dan dihoskan oleh Naz Rahman, Cheryl Samad dan Datuk Aznil Nawawi.

2) Naz memakai baju Melayu merah lengkap manakala Cheryl menyarung sepasang cheongsam kuning muda dan Datuk Aznil memilih kurta biru.

3) Seawal 8 malam, seorang deejay bertugas memainkan muzik-muzik antarabangsa yang popular masa kini. Ia menjadi siulan penonton ketika itu!

4) Ketiga-tiga pengacara mengajak penonton berkaraoke bersama tiga pilihan lagu iaitu Sahabat Selamanya (Padi), Gemilang (Ella) dan Balik Kampung (Sudirman).

5) Pertunjukan pancaragam pelajar sekolah menengah di Kuala Lumpur mencuri tumpuan dengan formasi kemas dan lagu-lagu patriotik yang dipersembahkan. Oh! Ada insiden tidak diingini berlaku ketika salah seorang pemain instrumen terjatuh sebenarnya.

6) Manakala, pertunjukan pancaragam gabungan pasukan angkatan tentera Malaysia pula memang terbaik terutama ketika menari lagu zapin sambil main drum!


7) Majlis yang dijadualkan bermula pada pukul 9.20 malam berlangsung sedikit lewat sekitar pukul 9.40 malam.

8) Konsert ambang kemerdekaan menghimpunkan pelbagai artis daripada genre dan generasi berbeza antaranya Salamiah Hassan, David Arumugam, Francesca Peter, Marsha Milan, Man Bai, Amy Search, Sheila Majid, Hijjaz, Siti Nordiana, Ella, Joe Flizzow dan Dayang Nurfaizah.

9) Laungan 'Merdeka' juga selepas pukul 12 tengah malam sejurus tamat ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

10) Stadium bergema dengan sorakan 90,000 penonton apabila Perdana Menteri mengumumkan 4 September cuti peristiwa.

11) Konsert kembali diteruskan selepas upacara sambutan kemerdekaan dan berakhir pada pukul 12.30 malam.

12) Perkarangan luar Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi kepulan asap daripada pertunjukan bunga api selepas tamat upacara.

13) Tempat duduk kontinjen sukan daripada semua negara hampir lengang sebelum sejurus konsert ambang merdeka bermula. Penat barangkali?

14) Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil sesak dengan lautan manusia yang berpusu-pusu mahu pulang ke rumah selepas tamat acara. Sehingga pukul 2 pagi masih ramai yang tersadai di luar stadium.



Untuk perkembangan dan informasi mengenai GempakXSeaGames, layari www.gempak.com/seagames2017 atau ikuti laman Facebook Astro Gempak dan Instagram @astrogempak.


Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: Twitter @rimaumalaysia, Hot FM, Bernama