Pelawak dan penyampai radio Sinar FM, Shuib Sepahtu mengakui rancangan Super Spontan tidak memberikan tekanan sama seperti program realiti Maharaja Lawak Mega (MLM).

"Jika bertanding dalam MLM, peserta merasakan tekanan. MLM lebih kepada pengumpulan idea dalam kumpulan dan berlatih untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.

"Debaran dan tekanan sangat dirasakan ketika waktu persembahan. Adakah lawak yang disampaikan membuatkan orang ketawa? Adakah penonton faham dengan lawak yang diberikan?

"Berbeza dengan Super Spontan, program ini kurang tekanan. Kita berkumpul bersama kawan-kawan lain dan memberikan aksi secara spontan di atas pentas. Semuanya datang sendiri," kata Shuib kepada Astro Gempak.

Menyertai edisi Super Spontan Superstar 2017, Shuib menjadi ketua bagi kumpulan King Musang.

"Ini merupakan penglibatan kali ketiga saya dalam Super Spontan. Saya melihat ini sebagai program yang akrab kerana penglibatan kawan-kawan.

"Saya rasa seronok apabila ditawarkan untuk menyertai program ini kerana saya dapat berkumpul dengan kawan-kawan dan pada masa yang sama, dapat menghiburkan penonton," katanya lagi.

Super Spontan Superstar 2017 akan bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Dalam perkembangan lain, filem lakonan Shuib, Abang Long Fadil 2 kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Menampilkan sisi berbeza berbanding filem-filem sebelum ini, Shuib membawakan watak serius sebagai seorang Inspektor polis.

Teks oleh: Kamaruddin Razal