Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akui kecewa kerana masih wujud ulat tiket menjelang perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sambil memberi jaminan tindakan segera bakal diambil.

Tiket final di antara Malaysia dan Thailand paling hangat dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini sehingga ada yang mengambil kesempatan menjualnya secara haram di atas talian dengan harga yang tidak masuk akal.

Tiket yang sepatutnya berharga RM21.20 itu dijual dengan harga di antara RM100 dan RM150 bermula pagi tadi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kami telah mengehadkan penjualan lima tiket sahaja bagi setiap individu tetapi mungkin ada yang cuba menjualnya semula dengan harga tinggi selepas membeli tiket menerusi orang lain.

"Kami akan lihat apa tindakan yang boleh diambil. Kita lihat apa yang akan berlaku," ujarnya.

Tambah Khairy, dia tetap mengharapkan aksi akhir nanti bakal berlangsung dengan tenang tanpa sebarang kekecohan seperti mana aksi separuh akhir berdepan Indonesia, kelmarin.

Khairy juga mahu barisan pemain turun beraksi tanpa tekanan untuk melakar sejarah bergelar juara di hadapan penyokong sendiri.

"Saya tidak mahu pemain kita berasa tekanan terlalu besar. Saya mahu mereka bermain dengan cara mereka. Berjuang habis-habisan dan pada masa sama, menikmati perlawanan itu.

"Saya percaya 90 peratus daripada penyokong malam esok adalah penyokong kita,” katanya lagi.

Sumber: Stadium Astro