Bintang Lawak Solo musim pertama, Danial Zaini dan Fikry Ibrahim antara peserta baru yang menyertai pertandingan Super Spontan Superstar 2017.

Danial menyertai kumpulan Tenggiling Taiko manakala Fikry pula menyertai kumpulan King Musang.

Selain itu, kumpulan Tenggiling Taiko yang diketuai oleh Achey Bochey turut dianggotai oleh Rahim, Sharif Zero, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Sharifah Shahira dan Ozlynn.

Kumpulan King Musang yang diketuai oleh Shuib Sepahtu pula dianggotai Shuk SYJ, Atu Zero, Fad Bocey, Kamal Adli, Amy Mastura dan Zulin Aziz.

"Bersesuaian dengan nama program, kami menampilkan barisan pemain yang cukup dikenali dan diminati oleh penggemar hiburan komedi di Malaysia. Mereka ini merupakan ‘Superstar’ dan berada dalam liga yang tersendiri.

"Atas permintaan peminat, kami sekali lagi membawakan beberapa pelawak kegemaran ramai seperti Achey, Fad, Syuk, Rahim, Shahrol, Shuib, Atu, Ozlynn, Zulin dan ramai lagi. Persaingan dilihat akan menjadi lebih sengit oleh kerana nama-nama yang hadir pada kali ini.

"Istimewanya lagi musim ini, buat julung kalinya kami membawa masuk dua orang pelawak solo yang semakin melonjak naik populariti mereka iaitu Danial dan Fikry yang masing-masing merupakan pemenang pertama dan ketiga bagi program komedi Lawak Solo," kata Raqim Ahmad selaku Ketua Saluran Melayu Astro.

Seperti penganjuran musim-musim sudah, Super Spontan Superstar 2017 masih meneruskan konsep ‘berhibur sambil beramal’ apabila pada setiap episod, juara mingguan akan mendermakan sejumlah RM5,000 kepada badan-badan kebajikan terpilih.

Juara ‘Super Spontan Superstar 2017’ akan membawa pulang RM100,000 beserta trofi. Naib juara akan meraih RM50,000 dan trofi manakala pemenang tempat ketiga akan memenangi RM25,000 dan trofi. Pemenang tempat keempat sehingga kelapan pula akan mendapat wang sagu hati bernilai RM5,000.00 setiap seorang.

Datuk AC Mizal diberikan mandat untuk menjadi pengacara Super Spontan Superstar 2017 manakala Amir Raja Lawak pula akan bertindak sebagai pengacara bersama.

Afdlin Shauki pula kekal sebagai komentator yang akan membuat ulasan ringkas mengenai persembahan setiap kumpulan sambil ditemani selebriti jemputan mingguan.

Jangan lupa saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124). Anda juga boleh menonton program ini menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Dua geng kongsi #TenggilingTaiko & #KingMusang akan berentap di #SuperSpontanSuperstar 2017 bermula 8.9.2017. Diorang mau langgar Astro Warna & Warna Hd jam 10 malam Jumaat.

A post shared by Zon Lawak (@zonlawak) on

Akan datang 8.9.2017 di Astro Warna & Warna Hd. #SuperSpontanSuperStar 2017

A post shared by Zon Lawak (@zonlawak) on