Pelawak dan penyampai radio Era FM, Johan menerbitkan filem televisyen sulungnya #TerobekRaya yang dirakamkan secara spontan dan tidak terikat dengan skrip.

Kata Johan, formula yang digunakan untuk karya pertama di bawah syarikat produksinya JWH Productions itu bakal menjadi signatur sekiranya mendapat sambutan penonton.

"Semua babak dan kejadian yang dirakamkan sepanjang filem #TerobekRaya adalah yang benar belaka dan tidak dirancang. Kebanyakan skrip dituturkan secara spontan selepas sekali berbincang sebelum memulakan penggambaran.

"Kerja menjadi lebih mudah kerana kebanyakan pelakon filem ini terdiri daripada kawan-kawan yang memang kenal dan rapat dalam industri.

"Kalau biasa kita lihat Sherry Al Hadad, Tauke dan Achey melawak, penonton pasti tidak menyangka lawak yang keluar dari mulut pelakon-pelakon lain seperti Beto, Riz Amin, Zizan Nin dan Azhan Rani," katanya.

Johan menggunakan tiga kamera serentak dalam setiap babak filem itu sebagai plan kontigensi sekiranya berlaku masalah teknikal.

Malah, selama dua bulan Johan turut terlibat dalam proses suntingan dan belajar banyak perkara baharu dalam urusan penerbitan sesebuah karya.

"Bukan senang nak jadi bos sebab banyak perkara saya perlu fikir terutama kebajikan artis.

"Saya pun ada pengalaman makan tidak cukup dan macam-macam lagi ketika shooting jadi saya mahu produksi saya bersama isteri ini menjadi yang terbaik. Tak kisah bajet lari asalkan semua gembira.

"Susahnya produksi ini apabila perlu menjaga 13 orang artis ini seperti menjaga perangai 60 orang budak tadika," katanya ketawa.

Filem televisyen #TerobekRaya menjalani penggambaran selama seminggu di Tadom Hill Resorts, Banting, Selangor dan Perkampungan Pahlawan Laksamana Hang Tuah di Melaka.

Jangan lupa saksikan #TerobekRaya di Astro First Eksklusif (480) dengan hanya RM15.90. Filem itu boleh didapati di platform digital On Demand.

Teks oleh: Amri Hassan