Gara-gara memuat naik rakaman penuh filem Abang Long Fadil 2, seorang pengguna Youtube bakal berdepan tindakan undang-undang.

Laporan polis kali kedua itu telah dibuat oleh Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar siang tadi di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur.

"Kami memandang serius perkara ini dan laporan polis ini dibuat untuk menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab ini sebelum tindakan undang-undang diambil," katanya kepada Astro Gempak.

Rakaman penuh filem itu dilakukan secara tersembunyi dari sebuah pawagam dan telah dimuat naik di Youtube pada pukul 8.55 malam.

Bagaimanapaun, perkara itu telah disedari oleh penerbit filem terbabit, Datuk Yusof Haslam dan amaran telah dikeluarkan kepada pihak itu.

Rakaman itu kemudiannya dipadamkan daripada Youtube pada pukul 9.45 malam.

"Namun, video itu sempat ditonton lebih 100 pengguna," tambahnya.

Jika disabitkan kesalahan pihak yang melanggar Akta Hakcipta 1987 boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak lebih daripada RM20,000 bagi setiap salinan atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang berikutnya tertuduh akan didenda tidak kurang daripada RM4,000 dan tidak lebih daripada RM40,000 bagi setiap salinan atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Jumaat lalu, seorang pengguna Instagram telah memuat naik rakaman 30 saat filem Abang Long Fadil 2 dan laporan polis telah dibuat.

Filem Abang Long Fadil 2 dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Achey, Tania Hudson, Wak Doyok, A. Galak dan ramai lagi.

Filem kerjasama pertama Skop Production dan Astro Shaw ini mula ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu 24 Ogos 2017.

Teks oleh: Amri Hassan