Selepas kemenangan skuad bola sepak kebangsaan menumpaskan Indonesia malam tadi, netizen menzahirkan harapan untuk melihat pelakon Bront Palarae menjadi pengulas sukan perlawanan akhir Malaysia melawan Thailand hari Selasa ini.

Idea itu disampaikan menerusi media sosial Twitter milik pengguna bernama @Alongmuizz malam tadi.

"Kami mahu Bront Palarae menjadi pengulas final Sukan Sea. Tolonglah jadikan ia realiti Khairy Jamaluddin," tulisnya.

Tweet itu sehingga kini sudah diulang kicau (retweet) sebanyak 15,000 kali dan mendapat 5,800 likes.

Tweet itu turut menarik minat pelakon Sharifah Amani yang merupakan teman rapat kepada Bront sendiri.

Tulisnya bersama Tweet terbabit; "Saya sokong!!!"



Bront Palarae kemudiannya membalas sendiri harapan peminat itu dengan hanya memberikan emoticon terkejut.

Reaksi netizen pula merasakan idea itu kelakar namun ada yang tetap menyokong dengan penambahan pelbagai inisiatif lain.

"Alang-alang doa sahajalah sekali Bront dengan Datuk Rahim Razali kalau impian ini dapat direalisasikan oleh Abah (KJ)," tulis @AlmalHakiiim.

"Final Malaysia lawan Thailand kalau Bront ulas sekali dengan bahasa Thailand. Cun!" tulis @shafwanshukor.




Namun, ada segelintir netizen yang kurang bersetuju dengan idea untuk menjadikan Bront sebagai pengulas sukan memandangkan wataknya dalam filem Ola Bola dibekalkan skrip untuk mengulas.

"Permintaan orang gila. Bront 'mengulas' guna skrip. Dia tinggal sampaikan. Pengulas sebenar kena spontan," tulis @_Khuzrin_.



Filem Ola Bola yang mengisahkan kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan telah mencatat kutipan pecah panggung RM15.8 juta pada tahun 2016.




Naskhah itu sekali lagi bakal diolah semula dalam versi teater muzikal dan bakal dipentaskan di Istana Budaya pada Februari tahun hadapan. Kita menang sama-sama, kita kalah pun sama-sama.


Teks oleh: Amri Hassan