Juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin tidak menafikan dirinya kini bergelar seorang jutawan.

Milla atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 30, memiliki empayar bisnesnya sendiri iaitu pakej perkahwinan Bizmilla, produk kesihatan dan kecantikan Bizmilla NZ Beauty, perniagaan makanan Embun Urai dan jenama pakaian Baju Kurung Milla yang popular di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

"Alhamdulillah, ini berkat kerja keras saya dalam bidang perniagaan," katanya yang ditemui pada majlis sidang akhbar Akademi Fantasia Megastar di Zouk, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mila bakal kembali berentap di pentas rancangan realiti itu bersama 24 orang bekas peserta Akademi Fantasia yang sudah bersiaran selama 13 musim.

Selain Mila, juara Akademi Fantasia lain yang bakal berkongsi pentas dengannya ialah Zahid (AF2), Faizal (AF4), Shahir (AF8), Faizul (AF2013), Firman (AF2014) dan Sufi (AF2015).

"AF Megastar adalah waktu paling tepat untuk saya kembali selepas berehat panjang, berkahwin dan melahirkan anak.

"Kali ini saya akan mengambil peluang untuk menonjolkan diri saya daripada sisi berbeza," katanya.

Selama lapan minggu program AF Megastar akan disiarkan secara langsung dari Royal Theatre, Shah Alam bermula 3 September 2017.

Teks oleh: Amri Hassan