Pengacara Thanuja mengakui mengalami kecederaan yang serius apabila menjayakan watak utama sebagai Devi dalam drama pendek bersiri, Anak Merdeka.

Thanuja atau nama sebenarnya Thanuja Ananthan, 32, berkata, kecederaan yang dialami itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk meneruskan penggambaran sehingga tamat.

"Watak yang diberikan kali ini penuh dengan cabaran dan saya sangat seronok melakukannya meskipun mengalami banyak parut di badan akibat cedera.

"Saya memegang watak sebagai seorang atlet negara bernama Devi dan ia amat mencabar walaupun pernah bergelar olahragawati ketika di sekolah menengah.

"Malah saya perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk menjalani latihan dengan pengajar terlatih, setiap hari.

"Meskipun mengalami pelbagai kecederaan, saya tidak pernah serik untuk melakonkan watak seperti ini lagi jika diberi peluang pada masa akan datang," katanya kepada Astro Gempak.

Thanuja berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Negaraku 2017 #kitasamahero di Kopitiam Ali, Muthu & Ah Hock, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Drama mini bersiri enam episod Anak Merdeka akan disiarkan pada 26 hingga 31 Ogos, pukul 9 malam di Astro Prima (saluran 105), Astro Mustika HD (saluran 134), Astro XI Yue HD (saluran 300) dan Astro Vaanavil (saluran 201).

Selain itu penonton juga boleh menyaksikan drama bersiri ini secara eksklusif di Astro melalui Astro GO, On Demand dan NJOI NOW.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi