Tidak cukup dengan kerjaya sebagai pelawak, penyampai radio, pelakon dan pengacara, Johan kini menceburkan diri dalam bidang penerbitan drama dan telefilem.

Hasilnya, filem televisyen (FTV) #TerobekRaya menjadi naskhah sulung Johan dan sudah mula ditayangkan di Astro First Eksklusif (480) sejak malam tadi.

Kata Johan, dia bukan tamak dan bidang baharu ini merupakan satu anjakan kerjayanya.

"Ini cabang baharu untuk saya teruskan dan bekerja lebih keras demi keluarga saya.

"Saya tidak menganggap permulaan bidang penerbitan drama atau telefilem ini sebagai langkah awal untuk bersara sebaliknya ini merupakan penambahan kepada karier saya," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem televisyen #TerobekRaya di GSC The Garden semalam.

#TerobekRaya diterbitkan oleh syarikat penerbitan milik Johan dan isterinya Ozlynn Wati, JWH Production yang telah beroperasi sejak 2009.

Filem televisyen itu akan mengimbas kembali kenangan berpuasa, menyambut hari raya, pikat memikat, amalan bertandang dan meminang serta banyak lagi yang dilalui masyarakat dari era 1970 hingga 1990-an.



Selain Johan dan Ozlynn, naskhah arahan Jo Yusof itu turut dibintangi oleh Beto Kusyairi, Zizan Nin, Sherry Al Hadad, Marsha Milan, Azhan Rani, Tauke Jambu, Achey Bocey, Riz Amin, Kazar Saisi dan Ani Mayuni.

Jangan lupa saksikan #TerobekRaya di Astro First Eksklusif dengan hanya RM15.90 selain boleh didapati di platform digital On Demand.



Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: InTrend, IG @jozlynnhanania