Aktor Fattah Amin mengakui tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian bersama pelakon Janna Nick dalam drama terbaru bertajuk Coffee Prince.

Menurut Fattah, dia mudah untuk mendapat keserasian dengan Janna memandangkan mereka sudah berkawan lama.

"Sebenarnya saya tidak kisah jika digandingkan dengan mana-mana pelakon kerana sebagai aktor saya harus mencari keserasiaan untuk menghidupkan watak yang diberikan.

"Saya dan Janna memang sudah berkawan lama dan ini kali pertama kami digandingkan bersama.

"Jadi perkara itu tidak menjadi masalah kepada kami untuk mencari keserasian kerana masing-masing telah mengetahui sikap antara satu sama lain.

"Malah, hubungan persahabatan ini juga memudahkan kami untuk menjiwai watak yang diberikan dalam drama Coffee Prince," katanya kepada Astro Gempak.

Fattah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi Gempak di The Bee, Publika, baru-baru ini.

Pada majlis itu, platform digital hiburan nombor satu Malaysia, Gempak telah memperkenalkan wajah baharu dan melancarkan aplikasi Gempak yang boleh dimuat turun secara percuma.

Menerusi aplikasi Gempak, pelbagai kandungan eksklusif, video menarik, berita hiburan dan informasi terkini, tips dan tutorial, gaya hidup dan siri televisyen tempatan dan luar negara boleh diakses dengan lebih pantas.

Aplikasi Gempak boleh dimuat turun di Google Play Store (Android) dan Apple App Store (iPhone) secara percuma!

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi