Jurulatih skuad bola sepak negara, Datuk Ong Kim Swee mengakui kesilapan yang dilakukan oleh Adib Zainuddin yang juga kapten skuad muda negara adalah tidak disengajakan.

Menurut Kim Swee, dia mengingatkan anak buahnya supaya sentiasa fokus dan mengurangkan kesilapan yang akan merugikan pasukan negara.

"Semua orang melakukan kesilapan, sudah tentu tidak bagus dibolosi tetapi saya berasakan dia tidak berniat melakukannya.

"Ia terjadi, oleh itu dia harus belajar tetapi bukan sahaja dia, pemain yang menghantar bola kepadanya juga berperanan memastikan tindakan itu selamat dilakukan." katanya.

Kim Swee juga memuji anak buahnya kerana menampilkan persembahan mantap sebelum menundukkan Myanmar 3-1 pada saingan bola sepak lelaki Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Biarpun menang bergaya, Kim Swee masih bimbang dengan bentang pertahanan yang melakukan kesilapan pada penghujung perlawanan sehingga membolehkan Myanmar menjaringkan gol sagu hati.

Dalam pertemuan malam tadi, Thanabalan menggamatkan Stadium Shah Alam dengan menjaringkan gol pembukaan sebelum satu lagi gol menyusul dua minit kemudian menerusi tandukan rakan penyerang, Safawi Rasid.

Gol ketiga skuad negara tiba pada minit ke-82 apabila hantaran lintang Jafri Fridaus Chew disudahkan menerusi larian bertenaga Thanabalan untuk menanduk masuk gol ketiganya dalam temasya ini.

Skuad Harimau Malaya akan bertemu dengan Laos pada aksi keempat kumpulan A di Stadium Shah Alam, pada 23 Ogos ini.

Marilah kita sama-sama menyokong atlet-atlet yang bertanding pada temasya sukan SEA Kuala Lumpur kali ini.

Untuk mengetahui lebih banyak berita terkini mengenai Sukan SEA 2017, layari www.stadiumastro.com.

Sumber: Astro Arena