Kegigihan atlet pelapis olahraga, Nik Fariezal Erman Nik Abd Hadi berjaya melayakkan diri ke Sukan SEA Ke-29 (KL2017) telah menarik perhatian penerbit filem Blok 404, Datuk Boy Iman untuk tampil menajanya.

Melalui penajaan syarikatnya, DBI Technology Sdn Bhd., atlet acara lompat kijang itu menerima tajaan berbentuk wang tunai serta barangan sukan.

Boy yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, DBI Technology, berkata, tajaan yang diberikan Nik Fariezal Erman, 21, merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat itu dalam membantu bidang sukan terutama di kalangan atlet muda negara.

“Kami berasa sangat berbesar hati dan bangga kerana dapat menaja atlet muda yang merupakan sumper inspirasi rakyat Malaysia untuk bertanding pada kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara ini.

“Nik Fariezal telah membuktikan impian kita mampu menjadi kenyataan jika berusaha bersungguh-sungguh biarpun berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesusahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Fariezal Erman yang merupakan anak jati Dungun, Terengganu kini berada di kedudukan nombor dua di belakang pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail.

Untuk rekod, anak jati Dungun ini merupakan pemenang pingat Perak Kejohanan Sekolah Asia dan pingat emas Kejohanan Sekolah ASEAN tahun 2014, pingat Perak Kejohanan Terbuka Malaysia (2015) dan finalis Kejohanan Olahraga Dalam Dewan di Doha, Qatar (2016).



“Jika rezeki saya menang pingat, sudah pasti hendak dedikasikan kejayaan itu kepada ibu bapa, keluarga, jurulatih, kawan-kawan dan rakyat Malaysia yang tidak putus memberi sokongan berterusan kepada atlet negara,” katanya yang akan beraksi pada malam 23 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.