Sepotong video aksi seorang pemain ragbi Malaysia, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi yang berlari ke bahagian penonton untuk memeluk kedua-dua ibu dan bapanya selepas memenangi pingat emas Sukan Sea semalam mengundang perasaan sebak netizen.

Rata-rata menyifatkan tindakan itu mengharukan dan momen bersejarah itu sepatutnya diraikan bersama insan tersayang terutama keluarga.

"Siapalah kita tanpa mereka," tulis Azim Fitri.

"Konsep kekeluargaan dan spiritual sangat kuat dalam pasukan," puji Shahrul Yahya.






Aksi Muhammad Azwan Zuwairi itu telah dirakamkan dari tempat penonton di Stadium Kelana Jaya selepas skuad ragbi lelaki 7 sebelah Malaysia membenam Singapura 22-7.

Sehingga kini, rakaman video yang dikongsikan oleh Faiz Fadzil itu mendapat 12,000 ulang kicau (retweet) dan 7,400 likes.

Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin juga mengulang siar (repost) rakaman video terbabit di Twitter peribadinya.

Menerusi perlawanan petang semalam, Malaysia mencatatkan try menerusi Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi, Muhammad Zulhisham Rasli, kapten Zulkiflee Azmi dan Mohamad Nur Azri Azmi.

Thailand pula menewaskan juara bertahan Sukan SEA 2015 Filipina 26-7 untuk meraih gangsa.











Untuk perkembangan dan informasi mengenai GempakXSeaGames, layari www.gempak.com/seagames2017 atau ikuti laman Facebook Astro Gempak dan Instagram @astrogempak.

Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: FB Malaysia Rugby, FB Malaysia 7s Rugby Team, FB Khairil A Jaafar, IG Azwan_Zeri
Kredit video: Twitter @faizfadzil