Perlawanan pusingan awal skuasy membabitkan beregu lelaki dan wanita yang dijadualkan berlangsung bermula pukul 9 pagi tadi terpaksa ditunda ekoran bas yang membawa atlet Myanmar dan Thailand mengalami kemalangan.

Menurut jurucakap yang menguruskan acara sukan itu, kemalangan tersebut berlaku sewaktu bas itu melalui sebuah lebuh raya dalam perjalanan ke venue pertandingan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Jelasnya, berdasarkan maklumat awal yang diterima kemalangan itu berlaku apabila bas yang membawa atlet Myanmar membrek secara mengejut dan bas yang membawa pasukan Thailand di belakang tidak sempat untuk memperlahankan kenderaan dan merempuh bas di hadapan.

Katanya, dilaporkan beberapa penumpang mengalami kecederaan namun tidak dapat dipastikan tahap kecederaan yang dialami.

Jelasnya, semua perlawanan yang dijadualkan pagi ini terpaksa ditangguhkan sehingga sehingga status kemalangan itu disahkan.

Sumber: Utusan Online