Bekas juara Akademi Fantasia musim ke-6, Stacy Anam, kini tampil dengan sinlge terbaharu ‘Cakap Ke Tangan’ yang membawa mesej mendalam kepada segelintir masyarakat yang sering menilai kekurangan orang lain.

Sudah tentu ini merupakan kelainan daripada Stacy kerana sebelum ini bait-bait lirik menerusi lagu-lagu hits nyanyian Stacy lebih banyak menjurus tentang hal percintaan dan kekesalan dalam hubungan.

“Sepanjang karier bergelar anak seni, saya sudah lali dengan sepak terajang dunia hiburan serta pernah diuji dengan pelbagai pahit getir dan turut pernah mengalami tamparan hebat kecaman khalayak ramai terutamanya di laman media sosial.

“Menerusi single ini, saya ingin mengajak peminat untuk sentiasa berfikiran positif dan abaikan aura negatif yang akan mencelarukan kehidupan kita seharian.

“Di samping itu, saya juga ingin memberi motivasi kepada peminat saya sendiri bahawa mereka perlu yakin dalam hidup dan tidak perlu takut dengan pandangan serong yang sering dilemparkan oleh segelintir masyarakat,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai kemunculan semula Stacy menerusi single ‘Cakap Ke Tangan’, penyanyi berusia 27 tahun ini memberitahu ia merupakan hadiah istimewa daripada suami tercinta.

“Saya gembira dengan nukilan lirik dan alunan muzik yang dihasilkan kerana menepati citarasa saya.
Walaupun sudah lama tidak beraksi di atas pentas, saya masih Stacy yang sama seperti dahulu kerana nyanyian dan tarian adalah jiwa dan memberi kepuasan kepada saya.

“Selagi masih ada yang percaya kepada bakat dan mahukan saya untuk terus mewarnai industri dengan kebolehan yang ada, selagi itulah saya akan terus di sini menghiburkan semua.

Harapan saya agar single ini mendapat penerimaan yang baik buat semua. Saya turut mengucapakan jutaan terima kasih kepada semua peminat yang tidak pernah jemu menjadi penyokong setia saya dari awal kemuculan saya dalam Akademi Fantasia sehinggalah sekarang,” ujarnya.




‘Cakap Ke Tangan’ hasil ciptaan sepenuhnya oleh Akim Ahmad atau lebih dikenali dengan nama pena Hang Nadim bersama Laq.

Sementara itu Ketua Muzik Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd., Adam Lobo, berkata Stacy seorang penyanyi wanita yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi.

“Semangat dan etika kerja Stacy amat dihormati dan perlu dipuji kerana beliau tidak mudah putus asa dan sentiasa berkongsi idea-idea untuk menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti agar mudah diterima peminat.

“Lagu ini membuatkan Stacy bukan sahaja berperanan sebagai seorang penghibur, malah jika diuntai barisan liriknya beliau mengajak peminat untuk menjadi seorang yang positif dan harus memiliki mental yang kuat untuk berhadapan dengan pelbagai rintangan.

“Dengan adanya konsep muzik bertenaga dan ringkas ini, pihak pengurusan berharap agar para peminat muzik tanah air menggemari dan teruskan menyokong kerjaya seni Stacy.

“Rangka promosi single ‘Cakap ke Tangan’ akan dilaksanakan mulai bulan ini dan Stacy dijadualkan bakal memenuhi sesi temubual di stesen-stesen radio dan televisyen tempatan,” katanya.

Single ‘Cakap Ke Tangan’ diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan akan mula menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan bermula hari ini.

Selain itu, muzik video lagu ‘Cakap Ke Tangan’ juga boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran Youtube ‘Rocketfuel Network’.

Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Layari saluran Youtube Rocketfuel Network untuk maklumat lanjut.