Pelakon Remy Ishak memberitahu tidak mudah menurunkan berat badan untuk tuntutan watak sebagai Farid menerusi drama mini bersiri Do[s]a.

Remy berkata atas usaha keras dan disiplin yang kuat, dia kini berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 72 kg berbanding berat asal 75kg dalam masa sebulan.

“Tuntutan kerja untuk drama ini memerlukan saya kurus, jadi target untuk turunkan berat adalah dalam 70 kg.

“Sekarang saya dah berjaya turunkan sebanyak 72 kg berbanding berat asal saya. Makan memang saya jaga dan kadang-kadang jika ada masa saya akan ke pusat kecergasan juga.

“Saya tak ambil nasi dan saya akui nafsu makan memang kena tahan. Tetapi kalau ada babak yang melibatkan pergaduhan, saya akan ambil juga walau sedikit kerana badan saya memerlukan tenaga dan karbohidrat.

Salah satu babak Remy dalam drama bersiri Do[s]a
“Saya betul-betul mula berdiet adalah ketika berada di Jakarta dan sudah hampir sebulan saya di sini. Diet memang diet tapi masalahnya masakan padang di sini lain macam.

“Saya akui nekad macam mana pun nak jaga makan tapi ada juga beberapa kali diet saya ke laut, tewas sebab sedap sangat. Lagi-lagi bila makan beramai-ramai bersama pelakon lain dan juga kru produksi,” katanya ketawa.

Remy ditemui Astro Gempak selepas sidang media drama mini bersiri berjudul Do[s]a, di Jakarta, Indonesia pada Sabtu lalu.

Selain Remy, pelakon yang turut membintangi drama mini siri Do[s]a ialah Datuk M.Nasir, Ashraf Sinclair, Hisyam Hamid, Reuben Elishama, Shenthy Feliziana dan ramai lagi.

Do[s]a diarahkan pemenang Anugerah Pengarah Terbaik Citra Award, Indonesia, Ifa Isfansyah dan bakal menemui penonton Disember depan.

Teks oleh: Mya Amri