Siapa sangka baju nikah yang dipakai oleh pengantin diRaja Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad Abdullah pada hari Isnin lalu ditenun oleh banduan di Penjara Penor, Kuantan, Pahang.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh ibu saudara Tunku Tun Aminah, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menerusi akaun Twitter baginda.

"Pada majlis pernikahan anak saudara saya, Tunku Tun Aminah memakai baju yang dibuat daripada Tenun Pahang DiRaja rekaan saya. Ditenun oleh banduan Penjara Penor," tulis Tunku Azizah.

Tenun Pahang memang cukup dikenali ramai sebagai tenunan paling kemas malah Tunku Azizan sendiri banyak memberikan sumbangan dan idea melalui hasil tenunan itu hingga menamakan semula Tenun Pahang sebagai Tenun DiRaja Pahang kerana kecintaan baginda.

Tambah Tunku Azizah, Baju Kurung Teluk Belanga yang dipakai Tunku Tun Aminah pada hari bersejarah baginda direka sendiri oleh pengantin.

"Saya tidak mereka pakai tetapi saya mereka fabrik yang menggunakan kain tenun. Tunku Aminah mereka sendiri Baju Kurung," kata baginda.

Sementara itu, pereka fesyen tersohor Datuk Rizalman Ibrahim turut memuji busana yang dipakai Tunku Tun Aminah.

"Tunku Tun Aminah seorang fashionista namun pada upacara begini beliau memilih untuk kembali keapda asal usal dengan mengangkat martabat negeri Johor.

"Terus terang saya katakan baju kurung tradisional sudah cukup cantik untuk disarungkan cuma kena bijak menatarias busana itu.

"Misalnya dipadankan dengan selendang, layah atau aksesori yang sesuai seperti Tunku Tun Aminah lakukan," katanya kepada Utusan Online.

Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Utusan Online