Bekas anggota kumpulan duo Azhael, Azhar Osman memberitahu dia kini sudah menemui pengganti selepas hubungan cintanya dengan seorang penyanyi wanita putus.

Kata Azhar, 29, gadis berusia 23 tahun itu masih lagi seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta dan hubungan mereka baru memasuki fasa tiga bulan.

"Kami mengenali satu sama lain dalam sebuah acara pembukaan sebuah butik pakaian beberapa bulan lalu. Kemudiannya kami bertukar-tukar nombor telefon.

"Pada mulanya dia tidak tahu identiti saya, sehinggalah dia mengesyaki jumlah pengikut saya yang ramai di Instagram saya.

"Walaupun kami sudah mengenali keluarga masing-masing, namun masih terlalu awal untuk saya membawa hubungan ini ke fasa selanjutnya.

"Biasalah, mesti akan ada sedikit sebanyak rasa syakwasangka dengan status saya bergelar penyanyi," jelas Azhar ketika ditemui di majlis pelancaran aplikasi Gempak di The Bee, Publika semalam.

❤️

A post shared by Mohd Azhar bin Osman (@azharosmaan) on


Tambah Azhar lagi, dia kini tidak terlalu memikirkan fasa bercinta sebaliknya hanya mahu mencari hubungan yang terus kekal ke ikatan perkahwinan.

"Pada usia saya sekarang, fasa bercinta bukan prioriti. Kalau boleh saya mahu mencari pasangan yang boleh dijadikan seorang isteri," katanya yang baru selesai penggambaran drama 20 episod Isteriku Mem Besar bergandingan dengan Mawar Rashid.

Sebelum ini Azhar pernah menjalinkan hubungan cinta dengan bekas peserta Akademi Fantasia, Amira Othman namun putus pada awal tahun ini selepas dua tahun usia perkenalan mereka.

Teks oleh: Amri Hassan