Beberapa hari ini cerita tentang keretakan rumah tangga penyanyi Hafiz Hamidun dan isterinya usahawan kosmetik Joy Revfa semakin hangat diperkatakan.

Terkini, peminat Hafiz dan Joy sudah mula ‘berperang’ di ruangan komen laman sosial Instagram (IG) pasangan suami isteri ini.

Pada salah satu entri yang dimuat naik Hafiz, pelbagai tohmahan dan kecaman dilemparkan sehingga ada yang menuduhnya bukan lelaki sejati dan sukakan kaum sejenis.



Bagaimanapun, ada pengikut IG yang prihatin dengan situasi dihadapi Hafiz dan menasihatkan penyanyi lagu ketuhanan itu menutup ruangan komen untuk mengelakkan lebih banyak fitnah dilemparkan.



Terdahulu, Joy mendakwa Hafiz mengaibkan dirinya apabila menjaja cerita ‘dalam kelambu’ mereka kepada orang luar.

"Selama ini, saya berdiam diri dan bersabar kerana ingin menjaga statusnya sebagai 'ustaz penyanyi', tetapi apabila diberitahu dia (Hafiz) menjaja cerita dalam kelambu, tiba masanya saya bersuara.

"Dia menghebahkan cerita tidak pernah 'menyentuh' isteri dari malam pertama hingga sekarang kepada orang luar. Sudah tentu keluarga meminta saya bertindak mempertahankan maruah diri.



"Saya tidak akan bersuara jika bukan dia yang memulakannya. Apa niat dia memutar belit cerita dan membuka aib tidak pernah menyentuh saya? Kenapa harus memberitahu seluruh alam mengenai perkara itu?" katanya seperti yang dilaporkan BH Online.

Sementara itu, kakak kepada Joy pula dalam satu kenyataan di media sosial mempertahankan adiknya dengan menyatakan Joy tidak sempat ‘berkenalan lanjut’ dengan suaminya kerana mereka tinggal sebumbung hanya enam hari sahaja.

Joy yang mempunyai seorang anak daripada perkahwinan terdahulu diijabkabulkan dengan Hafiz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam, pada 1 Mei lalu.

Apa pun diharap semua netizen bersabar dan beri masa kepada Hafiz serta Joy selesaikan masalah rumah tangga mereka.

Sama-sama kita nantikan kenyataan rasmi daripada mereka.