Selebriti popular Hollywood Kim Kardashian mendedahkan dia pernah mencuri sebatang gincu daripada sebuah kedai kosmetik di Malibu, California, Amerika Syarikat bersama teman baiknya, Nicole Richie.

Kejadian itu sebenarnya berlaku ketika dia berusia 11 tahun dan perasaannya untuk memiliki alat solek itu memaksa dia mencuri.

"Kami fikir kami kental! Aku tidak ingat nama warna gincu itu tapi seingat aku ia berwarna coklat dari jenama Revlon.

"Aku bukanlah seorang gadis yang membesar dengan cara berpesta, jadi ini caranya untuk aku tunjuk cara memberontak," tulisnya di media sosialnya beberapa hari lalu.



Kisah silam itu sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada Kim untuk mengembangkan perniagaan kosmetiknya, KKW Beauty.

Malah, produk bedak contour yang dilancarkan baru-baru ini telah berjaya mendapat kutipan jualan AS$14.4 juta (RM61.8 juta) selepas tiga jam dipasarkan.

Bukan Kim sahaja, adiknya Kylie Jenner juga menjadi usahawan kosmetik terkemuka Amerika Syarikat.

Produk kosmetik gincu yang dipasarkan selama 18 bulan telah mengaut untung sebanyak AS$420 juta (RM1.8 bilion). Wow bukan?




Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Wolipop