Pengacara Thanuja mengakui lebih serius dalam bidang lakonan selepas diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam drama pendek bersiri, Anak Merdeka.

Thanuja atau nama sebenarnya Thanuja Ananthan, 32, berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk berlakon dan mengakui bahawa sudah mula jatuh cinta terhadap bidang lakonan.

"Ini merupakan drama siri pertama yang dilakonkan oleh saya selepas filem pertama berjudul Temuan Takdir ditayangkan tahun lalu.

"Saya sebenarnya terkejut dan gementar apabila ditawarkan untuk membintangi drama siri ini kerana bidang utama saya adalah pengacaraan.

"Jadi saya mencabar diri untuk menerima tawaran diberikan dan ternyata dunia lakonan merupakan sesuatu yang menyeronokan.

"Saya sudah mula jatuh cinta dalam bidang lakonan dan merancang mahu terus serius kerana ia sesuai dengan jiwa saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Thanuja berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Negaraku 2017 #kitasamahero di Kopitiam Ali, Muthu & Ah Hock, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Drama mini bersiri enam episod Anak Merdeka akan disiarkan pada 26 hingga 31 Ogos, pukul 9 malam di Astro Prima (saluran 105), Astro XI Yue HD (saluran 300) dan Astro Vaanavil (saluran 201).

Selain itu penonton juga boleh menyaksikan drama bersiri ini secara eksklusif di Astro melalui Astro GO, On Demand dan NJOI NOW.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi