Kebelakangan ini kecoh mengenai hubungan dingin di antara pendatang baru Syafiq Farhain dan bapanya, vokalis kumpulan Iklim Saleem.

Ketegangan bermula apabila Saleem meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan sebuah syarikat rakaman (bersama Syafiq) yang menggunakan namanya dan menganggap perkara tersebut menganggu periuk nasinya sebagai seorang penyanyi yang masih aktif.

Malah, menerusi laporan portal mStar Online hari ini, isteri Saleem iaitu Julia Bachok tampil menjelaskan, terdapat perselisihan faham antara penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu dengan anaknya Syafiq Farhain sejak beberapa tahun lalu yang belum diselesaikan secara baik.

Julia tampil membela suaminya, Saleem yang dikritik orang ramai kerana tindakannya tidak membenarkan anaknya Syafiq menggunakan nama dan menyanyikan lagu-lagunya.

Bagaimanapun menurut Julia, sebagai anak, Syafiq sepatutnya datang meminta maaf kepada suaminya itu atas apa yang pernah dilakukannya dahulu sehingga membuatkan Saleem terguris hati.

Dalam pada itu, pelayar laman sosial turut mendoakan agar hubungan Saleem dan Syafiq kembali pulih dan berhenti bersengketa.

Malah, ada yang menasihati Syafiq agar mengalah kerana persengketaannya melibatkan seorang insan yang bergelar bapa.

Semoga perkara ini dapat diselesaikan secara baik oleh kedua-dua belah pihak. Sama-sama kita doakan ya!