Pelakon filem The Battleship Island, Song Joong Ki akui rasa bertuah kerana dipilih untuk membintangi filem tersebut.

Song Joong Ki berkata walaupun pertama kali bekerja di bawah pengarahan Ryoo Seung Wan ternyata dia begitu kagum dengan ketelitian hasil kerja pengarah tersebut.

“Disebabkan ini The Battleship Island ini merupakan filem aksi, jadi banyak babak-babak pergaduhan yang dilakukan dan ia agak bahaya.

“Tapi disebabkan Ryoo Seung Wan merupakan pengarah yang berpengalaman, dia berjaya membuatkan babak-babak tersebut nampak begitu ‘high class’.

“Secara jujur, saya juga rasa kurang terbeban disebabkan oleh tunjuk ajar yang diberikan olehnya.

“Oleh kerana filem ini berdasarkan kisah benar, saya kagum dengan hasil kerjanya yang begitu terperinci dan teliti.

“Sebagai seorang ‘junior’ dalam industri ini, saya ingin memberikan kredit dan juga rasa hormat saya kepada pengarah Ryoo Seung Wan. Rasa bertuah kerana dapat bekerja di bawah pengrahannya,” katanya.



Song Joong Ki berkata demikian ketika sidang media filem The Battleship Island yang berlangsung baru-baru ini.

Selain Song Joong Ki, bintang lain yang turut menjayakan filem ini adalah Soo Ji Sub dan Hwang Jung Min.

The Battleship Island bakal menemui penonton di pawagam pada 17 Ogos ini.

Sinopsis:

Filem ini berdasarkan kisah benar yang berlaku ketika Perang Dunia Kedua. Seramai 400 rakyat Korea Selatan dibawa ke Pulau Battleship dan dikerah menjadi buruh lombong arang batu yang dikendalikan oleh tentera Jepun.

Bukan saja kilang lombong, pulau itu juga ibarat perkampungan kecil kerana turut menjadi tempat kediaman pekerja dan dilengkapi rumah pelacuran.

Jalan cerita filem ini penuh dengan babak emosi penderitaan pekerja terutama kanak-kanak yang terpaksa mengerah kudrat manakala wanita dijadikan hamba seks.

Sementara itu, Lee Kang Ok (Hwang Jung Min) yang juga merupakan anggota kumpulan pemuzik mula berbaik-baik dengan askar Jepun supaya dapat bertemu dengan anaknya yang bekerja sebagai orang gaji pengurus lombong itu.

Kemunculan Park Moo Young (Song Joong Ki) sebagai perisik tentera merungkai segala persoalan terhadap pulau tersebut.

Moo Young kemudian mengatur perancangan untuk membawa semua warga Korea keluar dari pulau berkenaan dengan menaiki kapal besar.

Teks oleh: Mya Amri

Kredit foto: FB GSCinemas