Bersempena cuti hujung minggu, Astro Gempak membawakan segmen terbaru Cerita Pendek Gempak dengan hashtag #GempakCerpen untuk tatapan pembaca.

Menerusi segmen ini, pembaca akan disajikan dengan karya-karya penulis yang menarik.

Untuk minggu ini, kami paparkan cerpen karya Fazleena Hishamuddin untuk berjudul Berpayung Emas Di Puncak Tabur.

Fazleena merupakan seorang penulis yang dikenali menerusi buku himpunan puisi berjudul Seksi Ovari.

Selamat membaca!

***********************************************************************************

Ada seribu rama-rama sedang terkurung dalam perut Zunaira sekarang. Terbang dan saling berlanggar satu sama lain. Rasanya nyilu dan menggetarkan. Jari jemari Zunaira seolah terendam dalam kiub-kuib ais, beku dan dingin. Titik peluh beratur melingkari urat-urat di dahi. Jantung berdetak laju. Dup dap, dup dap. Sejak keluar dari rumah, hatinya tak tenteram. Jarang dia berada dalam situasi begini. Biasanya perasaan teruja, gembira dan segala yang bercahaya terbit apabila dia ingin melakukan aktiviti dan hobi kegemarannya; mendaki.

Zunaira tiba lebih awal dari waktu yang dijanjikan. Setengah jam awal. Dia mahu menunjukkan potensi yang baik. Masa antara perkara paling penting menilai keperibadian seseorang. Lagipun, bukan calang-calang orang yang akan ditemui hari ini. Orang yang akan menentukan masa depannya. Yang menentukan–kebahagiaannya.

Beberapa kumpulan pendaki sudah mula berpusu memenuhi kawasan tempat letak kereta. Ada yang sedang membuat senaman ringan, meneliti barang-barang keperluan pendakian dan beberapa kumpulan sedang bergambar riang di bawah pinggir bukit. Zunaira memerhati sekeliling. Bukit-bukit di sekitarnya ditutupi kabus pagi yang menyamankan. Setahunya sudah hampir 10 kali dia ke situ. Mendaki sudah menjadi darah dagingnya sejak 10 tahun yang lalu. Gunung mana yang tak pernah ditawan? Bukit mana yang belum lagi direntasi? Aktiviti memanjat bukit dan gunung ini membawa Zunaira mengembara ke seluruh dunia. Dia sudah khatam memanjat bukit dan gunung di Semenanjung. Di Indonesia hampir separuh sudah berjaya dijejak. Kini dia dalam proses menggapai impiannya mendakap puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Zunaira sedang membetulkan ikatan kasutnya apabila cermin tingkap keretanya di ketuk perlahan. Dia tersentak. Seorang wanita separuh usia, mungkin sebaya kakak sulungnya sedang tersenyum mengangkat tangan. Mesra. Jantung Zunaira kembali berdetak laju. Dia membalas dengan mengangkat tangan kembali. Menundukkan wajahnya dan senyum. Mengambil beg galas, meneliti setiap keperluan dan apabila yakin semuanya sudah lengkap, dia melangkah keluar dari perut kereta. Terdengar-dengar suara kekasihnya berbisik. "Jangan risau Sayang, pasti semuanya akan baik-baik saja." Berbekalkan bisikan semangat itu, Zunaira menghulurkan tangan pengenalan pada wanita tadi. Mencium tangannya dan kemudian lantas memeluk serta mencium kiri kanan pipi wanita itu. Cuba beraksi tenang dan mesra. Wanita itu membalas segala perlakuan Zunaira dengan hormat. Dia pantas memegang bahu dan menggosok belakang tubuh Zunaira perlahan. Zunaira rasa damai. Permulaan yang baik, bisik Zunaira. Tapi terlalu awal untuk menilai. Aku mesti berjaga-jaga. Seperti mantera, Zunaira menyebut berkali-kali dalam hatinya. "Harus berjaga-jaga. Harus berjaga-jaga."

Kak Zakiah. Wanita itu mahu dipanggil dengan nama itu. Zunaira pula suka dikenali dengan panggilan Zu saja. Zunaira mengetuai senaman ringan sebelum memulakan pendakian. Angin pagi berdesir perlahan menemani burung bersiul bersahut-sahutan. Sekitar 20 minit berjalan, Zunaira dapat dengar nafas yang tidak sekata datang dari wanita yang berjalan di sisinya itu. Dia memberhentikan langkah dan bertanya, adakah wanita itu masih dalam keadaan baik. Dengan nafas yang tercungap-cungap, wanita itu mengangguk dan berkata berkali-kali, "Akak okay. Akak okay." Apabila tiba di check point pertama, Zunaira terus berhenti dan meminta Kak Zakiah untuk berehat. "5 minit kita rehat, kemudian kita jalan semula. Okay?" Kata Zunaira. Wanita itu mengangguk setuju. Dia pantas mengeluarkan botol air, dan minum dengan rakus. Zunaira faham. Seseorang yang tidak pernah memanjat bukit seumur hidupnya, memang sukar dan lelah untuk pertama kali. Prinsip mendaki yang dipakai-guna sejak dulu ialah – jangan paksa. Kalau penat, berhenti. Seperti hidup, ada masanya perlu berhenti untuk beri masa meneliti kekurangan diri. Apabila dah bersedia, boleh memulainya kembali.

Ketika Kak Zakiah berehat di atas salah satu batu di check point pertama, Zunaira melihat permandangan bukit-bukit di hadapan. Kabus masih tebal menyelimuti. Empangan Klang Gates yang menjadi permandangan ajaib dan sebab utama keghairahan para pendaki sudah kelihatan. Bukit Tabur yang mereka panjat hari ini, namanya Bukit Tabur East. Manakala di sekitarnya terdapat beberapa lagi puncak bukit Tabur yang dinamakan Tabur Far East, Tabur West dan Tabur Ekstrem. Deretan Bukit Tabur jika dilihat dari jauh seperti beberapa ekor gajah yang sedang beratur. Bukit Tabur East antara yang terendah dan tidak terlalu sukar berbanding yang lain. Walau bagaimanapun, Bukit Tabur tetap merupakan antara bukit di Malaysia yang mencabar. Ia dipenuhi dengan batu-batu tajam granit yang memerlukan pendakinya memanjat atau melakukan rock climbing. Laluan pendakiannya berliku dan memerlukan stamina dan keberanian. Melihat keadaan wanita yang sedang berehat dengan mengurut dadanya perlahan-lahan, Zunaira sedikit bimbang. Perjalanan mereka masih jauh menuju ke puncak. Di atas ada beberapa check point lagi. Juga ada beberapa bahagian yang memerlukan kekuatan fizikal, untuk memanjat batu-batuan menggunakan tali. Di bawahnya gaung. Fizikal dan mental harus sama-sama kuat dan seimbang. Kenapa wanita itu mahu melakukan aktiviti mendaki bersamanya? Mengapa perkenalan pertama mereka harus di situ? Di bukit yang sukar dan penuh berliku. Mengapa tidak di shopping mall atau di kedai minum yang lebih selesa? Zunaira tertanya-tanya.

Kak Zakiah meminta agar mereka meneruskan pendakian setelah berehat 5 minit. Kedua mereka tidak bercakap. Bunyi derap tapak kaki saja yang kedengaran. Sesekali bunyi nafas Kak Zakiah yang tercungap. Lagipun, rasanya pelik untuk mereka bersembang seperti seorang teman. Bulan depan Zunaira bakal disatukan dengan kekasihnya, yang merupakan suami kepada wanita yang sedang membontotinya di belakang. Pelik. Perasaan itu sungguh pelik dan mengelirukan. Sejak diberitahu oleh kekasihnya, isterinya mahu mengadakan pertemuan dengan dirinya di Bukit Tabur, Zunaira kaget. Setiap malam dia tak boleh tidur. Resah. Gelisah. Dia mula terbayang-bayang yang bukan-bukan. Bukit Tabur terkenal sebagai bukit berdarah yang penuh dengan tragedi kematian. Tahun lepas saja lebih 5 orang mati akibat tergelincir dari curam dan jatuh ke dalam gaung. Walaupun, Bukit Tabur sudah biasa ditawan Zunaira, namun perasaan takut dan bimbang tak boleh diendahkan. Satu malam sebelum pertemuan hari ini, dia pernah bermimpi, terjatuh akibat di tolak seseorang ke dalam gaung di sebuah gunung dan mati. Mayatnya ditangisi oleh seluruh ahli keluarga dan sanak-saudara. Kekasihnya yang paling sedih. Wajah orang yang menolaknya tidak jelas dan tidak berjaya diingati. Ketika tersedar, dia menangis ketakutan. Sekarang ini, fikirannya dikacau mimpi-mimpi ngeri itu. Tapi akhirnya dia sedar yang dia seorang pendaki yang handal. Mana mungkin, kejadian seperti itu boleh berlaku. Mimpikan mainan syaitan. Ahh lagipun, perkara yang mahu dilakukan itu bukannya jahat. Bukankah mendirikan masjid itu perkara yang baik? Tuhan sudah tentukan bahawa jodohnya dengan suami orang. Kenapa dia perlu menolaknya? Usianya hampir mencecah 33 tahun. Kekasihnya itu benar-benar tulus serta jujur mencintainya. Yang perlu dilakukan kini cuma memastikan yang wanita berada disisinya sekarang ini, menerimanya. Itu saja. Buat masa ini, perlakuan wanita itu tidak mencurigakan. Dia nampak mesra, penuh dengan kasih sayang dan seolah menerima. Poligami itu tak pernah salah, jika adil dan saksama. Alangkah baiknya dia boleh menjadi sahabat dengan Kak Zakiah. Ada syurga yang menanti kita berdua di akhirat nanti, kak. Bisik hati Zunaira.

Mereka tiba di check point ketiga. Kak Zakiah nampaknya sudah mula mengikut rentak. Dia nampak lebih tenang. Dia mengambil nafas panjang dan membuka bungkusan coklat dari beg galasnya. Coklat baik untuk menambah tenaga ketika mendaki. Zunaira meneguk air dari botol air yang dibawa. Beberapa pendaki berjalan melintasi mereka. Zunaira berdiri disamping Kak Zakiah. Wanita yang bertudung bawal biru muda itu senyum dan mengangguk. Wanita itu mempunyai aura keibuan, kelihatan penyayang. Zunaira tiba-tiba rasa mahu bercakap-cakap dengan Kak Zakiah. Atau paling tepat, mahu tahu apa wanita itu rasa apabila dia perlu menerima wanita lain dalam perkahwinannya. Menerima seorang madu. Zunaira mahu tahu apa emosi yang dibendungnya saat ini. Bolehkah Kak Zakiah berlaku jujur dengan perasaannya? Bertalu-talu pertanyaan itu muncul dalam fikiran Zunaira. Namun segalanya seolah tersekat. Dalam kebuntuan itu, Kak Zakiah tenang menghulurkan sebungkus coklat yang belum dibuka kepada Zunaira. Zunaira mengambil dan membuka bungkusannya. Tiba-tiba saja, Zunaira terfikir. Mungkinkah coklat ini telah disalut racun serangga? Atau telah dibomohkan oleh Kak Zakiah? Zunaira terdiam lama. Kak Zakiah masih senyum sambil menggigit bungkusan coklat kedua miliknya. Zakiah menggelengkan kepalanya. Ya Tuhan! Apa yang aku fikirkan ni? Zunaira berasa bersalah kerana berfikir begitu. Namun coklat itu tetap tidak dimakan dan dimasukkan ke dalam beg.

"Semuanya ok sayang?" Mesej dari kekasihnya tiba sejurus mereka sampai ke puncak Bukit Tabur East. Namun Zunaira tidak membalasnya. Dia mahu menjawab soalan kekasihnya itu, sejurus turun dari mendaki nanti. Zunaira melihat wajah kegembiraan Kak Zakiah yang leka mengambil gambar dari telefon bimbitnya. Dia faham. Orang yang pertama kali mendaki, memang akan takjub dan gembura bukan kepalang apabila tiba di puncak. Zunaira bahagia melihatnya. Sepanjang pendakian, Zunaira tahu yang wanita itu betul-betul gigih untuk sampai ke puncak. Ada masa dia kelihatan hampir berputus asa, terutamanya ketika check point terakhir. Namun ketabahan dan keberaniannya mengatasi segalanya. Apa yang cuba wanita itu buktikan? Adakah Kak Zakiah mahu memberitahu padanya bahawa dia juga boleh mendaki? Atau dia juga pesaing yang hebat? Entah. Soalan itu perlahan-lahan hilang seperti kabus yang menipis ditelan matahari pagi.

Empangan Klang Gates menjelma menjadi sebuah lukisan yang indah. Kak Zakiah merenungnya seolah tembus ke dalam air. Zunaira juga duduk di sebelah Kak Zakiah memerhatikan permandangan tersebut seperti pertama kali melihatnya. Ia masih mempersonakan. Zunaira mengajak Kak Zakiah mencari kawasan yang lengang dari keramaian manusia yang sibuk bergambar dengan papan tanda "Bukit Tabur East - 275M". Penanda itu penting untuk dikhabarkan kepada kawan-kawan, bahawa puncak itu sudah berjaya ditawan.

Zunaira menyandarkan tubuhnya di atas batu yang agak besar di lereng bukit. Kak Zakiah mengeluarkan sesuatu dari beg galasnya. Zunaira tersentak dan pantas bangun dari sandarnya. Khuatir jika ada sesuatu yang dikeluarkan dari beg galas itu. Mungkin pisau? Parang atau pistol? Kak Zakiah tenang mengeluarkan tupperware berwarna hijau. Membuka penutupnya, lantas kelihatan nasi lemak di dalamnya. Baunya sungguh harum, menusuk. Sambal nasi lemak kelihatan pekat di alas dengan daun pisang. Zunaira menelan air liur dan perutnya tiba-tiba berkeroncong. Kak Zakiah menyenduk nasi ke dalam pinggan plastik. Di hulurkan pada Zunaira, dan satu buat dirinya. Kak Zakiah mempelawa Zunaira makan. Dada Zunaira sebak. Kolam matanya tiba-tiba bergenang. Zunaira memusingkan kepalanya dari dilihat Kak Zakiah. Menahan air matanya dari jatuh. Kemudian menyuapkan nasi lemak pemberian Kak Zakiah ke dalam mulutnya tanpa ada kesangsian, seperti sebelumnya. Siapakah sebenarnya malaikat yang sedang berada di hadapanku ini? Bisik hati Zunaira.

Selesai makan dengan gembira, Kak Zakiah membuat permintaan untuk bergambar bersama, sebelum pulang. Zunaira bersetuju dan lapang hati melakukannya. Gambar itu penting untuk dihantarkan pada kekasihnya sebagai bukti bahawa hubungan mereka boleh bersatu. Namun tiada sesiapa di situ untuk membantu mengambilkan gambar. Zunaira membuka telefon bimbitnya dan menghalakan butang kamera ke hadapan. Dia terpaksa melakukan selfie atau wefie istilah budak-budak muda sekarang ini. Dia memeluk bahu Kak Zakiah. Kak Zakiah membalas dengan memaut pinggang Zunaira. Dia mengangkat kamera itu tinggi. Mencari-cari sudut terbaik agar Empangan Klang Gates berjaya dijadikan latarbelakang gambar mereka berdua. Mereka berdiri betul-betul di hujung lereng bukit. Kak Zakiah senyum meleret. Mereka berdua seperti sepasang kakak dan adik yang sudah lama tidak bersua. Seperti sahabat yang saling menyayanyi. Seperti saudara yang akan selalu melindungi.

Sewaktu Zunaira membuat kiraan satu, dua dan belum sempat menyebut tiga, namun dia sempat menekan butang kamera, Kak Zakiah secara tiba-tiba melepaskan pautan tangannya dari pinggang Zunaira. Seperti membuat terjunan balik kuang, Kak Zakiah mendepakan tangannya dan membiarkan tubuhnya melayang di bawa angin. Gaung di bawah seperti sebuah kolam renang apabila tubuh Kak Zakiah hilang di celah-celah bukit berbatuan. Jantung Zakiah terhenti. Telefon bimbit yang sempat merakam wajahnya dan Kak Zakiah yang berpelukan, terlepas dari genggaman. Dia ingin menjerit sekuatnya, namun seperti ada yang menumbuk kerongkongnya, suaranya takmampu keluar. Kakinya lumpuh seperti ditarik ke dalam granit-granit yang tajam menikam. Pandangannya kabur dan nafasnya seperti anjing kehausan. Wajah Kak Zakiah yang tersenyum manis sebelum terapung di udara, menghantui pandangan. Air mata Zunaira turun bagaikan hujan. Bukit Tabur seolah-olah sedang bertepuk tangan.