Ibu kepada pelawak Abam Bocey, Sabariah Arshad 50, akui tidak berhenti berdoa agar anak kesayangannya itu bertemu jodoh.

Sabariah berkata, dia berharap agar Abam bertemu seorang wanita yang boleh menerima anaknya itu seadanya.

“Ada juga beberapa orang anak-anak gadis datang berjumpa dengan saya nak kenal dan berkawan rapat dengan Abam.

“Selepas dah kenal tapi tempoh berkenalan itu tak lama, sekejap saja. Saya faham, mungkin kerana Abam tak sama dengan orang lain.

“Wanita sekarang kalau boleh nak yang comel-comel, sedih juga tapi sebagai ibu saya akan sentiasa berdoa agar Abam dipertemukan jodoh dengan orang yang baik-baik," katanya kepada Astro Gempak.

Sabariah ditemui di lokasi penggambaran program ‘Air Tangan Bonda’ terbitan Padusi Pictures di Kota Damansara, baru-baru ini.

Tambah Sabariah lagi, sikap Abam di rumah dan di luar adalah berbeza.

"Abam seorang yang kurang bercakap dan banyak rehatkan diri di rumah dan suka bergurau dengan adik-adiknya.

“Kalau Abam diam dan tak bercakap, saya akan biarkan saja. Saya faham dia penat kerja dan perlukan rehat.

“Bila dia dah mula bergurau itu maknanya Abam dah cukup rehat sepenuhnya. Apa-apa pun Abam seorang anak yang baik dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Mengenai perkembangan seni Abam, dia masih lagi dalam fasa latihan teater arahan Erma Fatima iaitu Teater Muzikal Mok Cun D’Walei bersama-sama pelakon lain seperti, Nora Danish, Fathia Latiff dan Amy Search.

Ia mula dipentaskan di Istana budaya bermula pada 4 November hingga 13 November 2016 dan tiket-tiket masih lagi dijual menerusi laman web www.redtix.asia.com.

Teks oleh: Mohd Ishahrulddin Tahir