Naib Juara program realiti nyanyian Malaysian Idol 2005, Nita Hamzah telah selamat melangsungkan ikatan pertunangan dengan seorang jejaka pilihannya, Mohd. Fareez Shamsul Bahari, 29, hari ini.

Menerusi sebuah video di Facebook (FB) miliknya, Nita melahirkan rasa syukur kerana majlis pertunangan tersebut berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

"Alahamdulillah, semuanya telah selesai. Saya pun dah disarungkan cincin. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Hanya doa yang baik-baik sahaja saya harapkan daripada semua," katanya.

Sebelum ini menerusi sebuah laporan akhbar, Nita berkata dia dan tunangnya mahu melangsungkan perkahwinan secepat mungkin.

"Kalau boleh memang tahun ini juga kami mahu berkahwin. Cuma dalam waktu sekarang hanya rancangan dahulu.

"Apapun saya berharap semua pihak mendoakan kebahagiaan kami," katanya.

Astro Gempak mengucapkan selamat bertunang kepada Nita Semoga ikatan yang dibina kekal hingga ke jenjang pelamin.



Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Kredit Foto: Jeff Wai