Atlet pecut yang pernah menerima gelar sebagai manusia terpantas di dunia, Usain Bolt menutup perjalanan karier kegemilangnya dengan kenangan episod duka.

Usain Bolt telah mengalami kecederaan pada saat akhir ketika menjadi tonggak pasukan Jamaica dalam acara 4x100m lari berganti-ganti.

"Dia tidak memberitahu kami apa yang berlaku tetapi daripada apa yang saya lihat, ia nampak seperti mengalami kekejangan otot di kaki.

"Dia sering kali memohon maaf kepada kami tetapi kami memberitahu yang dia tidak ada melakukan apa-apapun kesalahan. Ini kerana kecederaan adalah sebahagian daripada sukan," kata rakan pasukan, Julian Forte.

Juara 110m berhalangan Jamaica, Omar McLeod dan rakan pasukan dalam acara berganti-ganti berkata, insiden itu sama sekali tidak akan menggugat reputasi Bolt.

"Nama Usain Bolt sentiasa akan disebut-sebut oleh orang ramai," katanya.

Bolt yang beraksi bersama Omar McLeod, Julian Forte dan Yohan Blake dalam acara tersebut terjatuh setelah menerima 'baton' sebagai pelari ketiga.

Bolt dilihat memegang paha kirinya sebelum terjatuh di hadapan kira-kira 60 ribu penonton yang memenuhi Stadium London.

Legenda olahraga, yang menunjukkan riak muka kesakitan itu memilih untuk dipapah keluar daripada garisan trek daripada menggunakan kerusi roda.

Penonton yang hadir menyaksikan acara itu berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada Bolt sebagai tanda penghormatan kepadanya.





Sumber: AFP