Pelakon Indonesia Reuben Elishama akui tidak mudah untuk belajar silat.

Kata Reuben, dia mula belajar seni mempertahankan diri itu sejak bulan puasa sebelum memasuki set penggambaran drama berairi Do[s]a pada penghujung Julai lalu.

"Babak pergaduhan untuk drama ini memang mencabar untuk dilakukan, lebih-lebih lagi seni mempertahankan diri saya dan Ashraf lebih kepada tinku.

"Amat berlainan dengan silat yang mempunyai kelembutan untuk setiap tekniknya.

"Nak belajar tidak mudah, nampak mudah tapi sebenarnya sukar. Tidak boleh melakukan silat dengan cara sesuka hati.

"Waktu mula-mula belajar memang badan kami agak keras, rasa seperti robot pun ya juga. Tapi sekarang kami dah mula dapat rentak.

"Memang benar kami berdua kerap berlatih sejak bulan puasa lagi untuk lebih mahir.

"Memang makan masa tapi bila lihat hasilnya rasa puas hati," katanya kepada Astro Gempak.

Reuben juga turut berkongsi pengalaman belajar silat ketika bulan puasa.

"Kami mula belajar sejak bulan puasa lagi, walupun puasa kami tetap berlatih dan itu bukan satu halangan.

"Letih itu memang pasti tapi latihan kami bermula pada jam 4.30 petang. Hampir dengan waktu berbuka.

"Tidak perlu terlalu paksa diri memandangkan bulan puasa. Saya jaga stamina dengan amalkan makan vitamin dan juga makanan.

"Mujurlah kami berlatih di Jakarta, kalau di Malaysia waktu berbuka agak lambat kan?," katanya berseloroh.

Selain Reuben, pelakon lain yang turut membintangi drama mini siri Do[s]a ialah Shenthy Feliziana, Remy Ishak, Hisyam Hamid, Datuk M.Nasir dan ramai lagi.

Do[s]a diarahkan pemenang Anugerah Pengarah Terbaik Citra Award, Indonesia, Ifa Isfansyah.

Drama mini siri Do[s]a sudah mula menjalani penggambaran sejak Jun lalu dan dijangka menemui para penonton di Astro tidak lama lagi

Teks oleh: Mya Amri