Selepas 'Amboi', penyanyi rap Altimet kini kembali dengan single terbaru berjudul Keliling Dunia bersama The Kawan Band.

Lagu tersebut diinspirasikan semasa jelajah 2016 Altimet ke Eropah dan USA untuk festival South By Southwest 2016 (SXSW).

Keliling Dunia mendapat sentuhan komposisi Navin D'Navigator manakala liriknya pula adalah ciptaan Altimet sendiri

Menariknya, lagu berentak rancak dan berirama jazz ini dirakamkan secara langsung bersama alat-alat muzik yang dimainkan oleh The Kawan Band.

Kata Altimet, mereka bersepakat untuk menghasilkan lagu gabungan daripada genre hip hop bersama alat-alat muzik secara 'live'.

"Saya dan The Kawan Band telah menjelajah sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Jadi kami mengambil kata sepakat untuk menghasilkan lagu gabungan sebegini.

"Setelah bertungkus-lumus bersama anggota The Kawan Band di studio, Keliling Dunia adalah hasil sulung untuk eksperimen ini," katanya menerusi satu kenyataan kepada media.

Keliling Dunia boleh didapati di iTunes dan semua platform digital yang lain.

Jangan lupa untuk menonton muzik video rasmi di laman sesawang Altimet di Altimet.com.my.