Filem: Annabelle Creation
Pelakon: Talitha Bateman, Lulu Wilson, Miranda Otto, Anthony LaPaglia
Pengarah: David Sandberg
Genre: Seram
Durasi: 1 jam 49 minit
Tarikh Tayangan: 11 Ogos 2017
Bintang: 4/5
Ulasan Penulis:

Memang tak senang duduk mahu menyudahkan tontonan filem seram prekuel Annabelle Creation, sama seperti perasaan menunggu filem itu ditayangkan Jumaat ini sejak trailernya disiarkan sejak 1 April lalu.

Filem yang berkisar tentang roh jahat yang menumpang hidup pada sebuah boneka budak perempuan bernama Annabelle itu akan meresahkan anda. Itu jaminan kami!

Elemen kejutan luar jangka dan plot twist Annabelle Creation menjadi kekuatan utama filem ini, selain mutu lakonan pendukung karakter utama kanak-kanak bernama Janice (Talitha Bateman).

Belum pun sempat perasaan seram, takut dan gementar kendur pada peralihan babak, sutradara filem ini David Sandberg tidak memberikan ruang untuk penonton bernafas.



Sandberg sebenarnya menemukan formula baharu untuk filem seram ini. Bermain dengan efek pencahayaan dan pergerakan kamera, ia membuatkan penonton tercari-cari petunjuk setiap kali muncul pergerakan walau dalam samar-samar.

Ketika itulah penonton akan diserang dengan kejutan!

Secara jelasnya, phasing filem ini lancar dan asal-usul cerita dan perkembangan watak protagonis diolah cemerlang.

Penamat filem seram ini tidak terlalu rumit dan masih masuk akal. Oleh itu, anda harus duduk di kerusi dan menonton hingga tamat ending credit Annabelle Creation kerana ada buah tangan menarik untuk sekuel filem seram ini selanjutnya.

Duga atau tidak, Sandberg berjaya membuat satu spin-off filem The Conjuring. Jika anda tidak percara, tunggu salah satu babak seorang paderi bersama rahib yang menunjukkan sekeping foto Valak (The Conjuring 2)!



Annabelle Creation mengisahkan sepasang suami isteri, Sam dan Esther Mullins (Anthony LaPaglia dan Miranda Otto) yang berdepan kematian tragis anak mereka Bee.

Selepas 12 tahun, pasangan itu mempelawa seorang rahib bersama enam orang kanak-kanak perempuan yatim piatu tinggal bersama mereka di sebuah rumah agam terpencil.

Bagaimanapun, kedatangan mereka sebenarnya menjadi target utama roh jahat yang merasuk sebuah patung bernama Annabelle.

Sebenarnya Annabelle Creation adalah penebus kegagalan filem sulungnya yang tidak mendapat kutipan memberangsangkan.


Teks oleh: Amri Hassan