Tunang kepada pelakon dan pengarah Datuk Hans Isaac, Gabriella menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan pertunangan mereka sudah putus.

Dakwaan tersebut timbul selepas Gabriella memadam foto-fotonya bersama Hans di akaun sosial Instagramnya.

Gabriella, 28, atau lebih mesra dengan panggilan Gabby menjelaskan, ada sebab melakukan perkara tersebut.

"Saya memutuskan untuk membuka akaun Instagram baharu, khas untuk keluarga dan teman rapat, manakala akaun sedia ada dijadikan sebagai tempat untuk berkongsi perkara berkaitan kerja yang dilakukan.

"Saya mahu mengasingkan antara kerjaya dan kehidupan peribadi," ujarnya.

Sementara itu Hans menegaskan dia masih lagi bersama tunangnya, Gabriella Robinson.

Hans, 45, mengakui terkejut dengan berita beberapa portal melaporkan kononnya beliau dan Gabby putus tunang kerana foto mereka bersama dipadam wanita tersebut.

"Saya terkejut apabila menerima banyak panggilan 'missed call' dan WhatsApp daripada media yang bertanyakan mengenai perkara ini. Kami masih lagi bersama," katanya.

Pada 28 Februari lalu, Hans mengumumkan pertunangannya dengan Gabby dan mereka merancang untuk berkahwin pada 29 Julai tahun ini.

Bagaimanapun, pasangan itu menunda tarikh perkahwinan mereka atas sebab-sebab tertentu.

Dalam pada itu Hans memberitahu dia merancang untuk mengahwini Gabby tahun hadapan.

Bagaiamanapun sehingga kini masih belum ada tarikh ditetapkan untuk tujuan tersebut (majlis perkahwinan).


Sumber: BH Online