Seorang isteri menyediakan kek berbentuk kubur dan kotak rokok untuk meraikan sambutan hari jadi suaminya.

Beberapa keping foto suami memegang kek tersebut dikongsi di laman Facebook Suami Isteri Bahagia dan mendapat perhatian netizen.

Menerima pelbagai reaksi netizen, kek itu digunakan untuk isteri menyampaikan mesej supaya suami berhenti merokok.

“Kek happy birthday paling deep dari isteri... Siap ada kubur terus,” tulis laman Facebook tersebut.

Semenjak dimuat naik pada 4 Ogos lalu, entri tersebut mendapat hampir 12,000 perkongsian serta lebih 2,000 komen.

Namun begitu, terdapat beberapa komen yang menghentam tindakan si isteri yang menyampaikan mesej ‘deep’ kepada suaminya.

“Agak-agaklah buat macam tu… Tak kesian ke kat suami siang malam cari duit untuk anak-anak dan juga nafkah isteri... Dah tau suami tu perokok doakanlah die berhenti bawa ke klinik bagi dia semangat cuba berhenti. ni minta mampus cepat... Apa ke bangang punya bini macam ni,” tulis seorang netizen yang mengecam tindakan tersebut.

Namun begitu, pasangan suami isteri itu membalas komen tersebut dan mempertahankan tindakan yang dilakukan.

Dayah Mohamad Isa: Rileks la bro… Suami aku okay jer... Kau tahu ke sebelum jadinya kek ni, apa cara dah aku buat kt dia? Hidup kami suami isteri memang macam ni, gurau senda laki bini. Tapi gurau aku kali ni agak bermakna dan makan dalam. Kau gila ke isteri nak doa suami mati cepat? Kau tahu ke apa doa aku untuk dia lepas solat? Tak payah nak lebih-lebih bro… Eh kalau bab aib tu, sendiri berasap depan orang ramai tu macam mana ye bro? Bukak aib sendiri ke tu?”

Mohamad Kamal Ismail: Saya okay je... Isteri saya buat macam kek tu… Buat tu sekadar nak sedarkan bahayanya merokok... Bukan letak kubur sebelah tu nak suami mati... Tapi dia nak sedarkan saya.. Merokok ni bahaya.”

Teks oleh: Kamaruddin Razal