Pelawak Rahim Sepahtu mengakui tujuannya menurunkan berat badan bukan untuk kurus semata-mata tetapi mahu menjalani kehidupan yang sihat.

Rahim yang juga penyampai radio Sinar itu berkata, selepas hampir tiga minggu menjalani program Misi XL Rahim, dia sudah mula merasai perubahan pada tubuhnya yang kini lebih sihat dan bertenaga.

"Sebenarnya sudah lama saya berhasrat untuk menurunkan berat badan tetapi niat itu sering tidak kesampaian.

"Tapi bila Sinar beri peluang untuk saya menjalani program ini, saya terus bersetuju walaupun pada mulanya agak takut juga jika tidak dapat lakukannya.

"Alhamdulilah penurunan berat badan saya mendadak dan saya sendiri tidak menyangka saya boleh melakukannya.

"Saya bukan nak nampak kurus sangat tapi sebenarnya saya hendak menjalani kehidupan yang sihat sahaja.

"Rasa perubahan dalam badan saya, jika dulu saya naik tangga pasti akan semput dan termengah-mengah tetapi kini tidak lagi," katanya kepada Astro Gempak.

Bukan mudah untuk menjalani program itu kerana Rahim perlu mengawal pemakanannya dan hanya makan makanan tertentu sahaja setiap hari.

Artikel terdahulu: Rahim Kongsi Tips Turun 16.6 Kg Dalam Masa 10 Hari

Selain mengawal pemakanan, Rahim juga turut menjalani senaman dan latihan setiap hari dibantu oleh dua orang coach iaitu Agam dan Aminah.

Rahim diberi masa selama lima minggu untuk menurunkan berat badannya sekurang-kurangnya 25kg dalam Misi XL Rahim berkenaan.

Berat asal Rahim sebelum menyertai program tersebut adalah 125.4kilogram (kg) dan terkini adalah 107kg.

Meskipun tinggal lebih kurang 7kg lagi baki berat yang perlu diturunkan, namun Rahim akui dia sedang berada di fasa yang sukar.

"Masa saya ikuti program ini saya akui berat saya mudah turun iaitu dalam masa sehari sahaja turun 5kg.

"Tapi menurut coach ia kerana berat yang turun itu ada berat air atau water retention dan sebab itu ia mudah.

"Kini yang tinggal adalah lebihan lemak degil yang ada dalam badan saya, jadi proses untuk menurnunkan berat badan memang agak sukar.

"Latihan serta senaman yang saya lakukan kini juga berganda daripada hari pertama.

"Malah saya turut mengambil inisiatif sendiri membuat latihan sendiri dengan berlari setiap petang supaya impaknya cepat," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal