Aktres Afifah Nasir menafikan tuduhan menjadi orang ketiga dalam rumah tangga aktor Aliff Aziz dan Bella Astillah.

Selain itu, Afifah turut mendakwa dirinya menjadi mangsa pihak produksi penggambaran drama lakonannya bersama Aliff.

"Saya bukanlah orang ketiga seperti yang didakwa. Saya juga tidak berminat dengan suami orang dan keluarga saya sendiri tidak mahu saya dekat dengan suami orang.

"Saya menjadi mangsa pihak produksi yang mahu saya bersikap baik dengan Aliff kerana dirinya dikatakan tidak mempunyai disiplin yang tinggi sepanjang sesi penggambaran drama tersebut.

"Saya seperti dianiaya. Semuanya dirancang untuk pihak produksi memudahkan kerja namun apabila hal begini sudah terjadi, saya seorang sahaja yang menjadi mangsa," kata Afifah.

Tambah Afifah, kesalahan turut diletakkan kepada dirinya sendiri kerana tidak membantah dan terlalu mengikut kata orang.

"Niat saya hanya mahu memudahkan kerja. Bayangkan, penggambaran yang sepatutnya berlangsung selama sebulan, berpanjangan selama dua bulan dan sehingga kini, masih belum selesai.

"Kini, perkara lain pula timbul dan saya sendiri rasa tindakan saya yang menurut kata orang lain sebagai satu padah.

"Apabila terjadi perkara sebegini, tinggallah saya sendiri. Tidak mengapa, biarlah perkara ini menjadi pengajaran buat saya.

"Tujuan saya adalah tidak mahu memburukkan lagi situasi, tetapi kini biarlah saya tampil untuk menjernihkan keadaan.

"Saya tidak tampil ke hadapan sewaktu perkara ini sedang panas kerana saya sedar tiada gunanya saya melawan waktu itu.

"Biarlah pihak sana mengeluarkan apa yang mereka mahu dan apabila keadaan telah kembali tenang, barulah saya tampil ke hadapan untuk menjernihkan keadaan," katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Aliff ditahan polis kerana didakwa memukul isterinya, Bella di sebuah pusat karaoke di Cheras.

Bella yang baru sahaja 20 hari melahirkan anak datang ke pusat karaoke terbabit dan menemui Aliff bersama seorang wanita yang didakwa Afifah.

Afifah mengadakan sidang media untuk menjernihkan keadaan selepas dua minggu berdiam diri. Dalam sidang media tersebut, Afifah ditemani oleh peguam, Sana Tufil Ahmad, kakaknya, aktres Mia Nasir, kekasihnya, Wan Ariff Wan Azhar dan pelakon Alana Amir.

Teks oleh: Kamaruddin Razal