Penerbit Eksekutif Global Station, Zetty Adila Ramly dan Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh hari ini membuat laporan polis terhadap individu yang memuat naik filem Kau Yang Satu (KYS) secara haram di laman sosial Facebook (FB).

Individu itu, telah merakam penuh filem KYS secara haram dengan melakukan live streaming di dalam panggung sebelum ditonton hampir 200 ribu pelayar FB.

Adilla ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia mengetahui tentang perkara tersebut selepas dimaklumkan pengarah filem KYS, Osman Ali menerusi aplikasi Whatsapps beberapa hari lalu.

“Kami memang ada group WhatsApp untuk filem KYS bagi memudahkan pihak kami berbicara mengenai hal-hal yang melibatkan filem tersebut dan Osman memberitahu tentang ‘kebocoran’ KYS di Facebook dan maklumkan dalam group.

“Jumlah tontonan yang hampir 200 ribu dan jumlah tersebut bernilai sekitar RM3 juta dan ia agak besar untuk kami.

“Tipulah kalau saya tak rasa kecewa, umpama seperti hasil kerja keras team produksi telah dirompak oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar yang mewakili Astro Shaw berkata berkata, tujuan laporan polis dibuat adalah untuk memberi pengajaran kepada individu terbabit dan orang lain supaya tidak melakukan perbuatan sama di masa akan datang.

“Meskipun individu tersebut sudah memohon maaf, tetapi perkara seperti ini perlu dipandang serius kerana ia umpama merompak harta orang lain.

“Membuat laporan polis bukan kerana mahu menghukum tetapi sebagai pengajaran kepada mereka di luar sana supaya tidak mengulangi perkara yang dilakukan oleh individu berkenaan.



“Kami juga berharap agar pihak terlibat membuka mata tentang perkara ini kerana ini bukan kali pertama ia berlaku, sebelum ini filem KL Gangster 2 turut mengalami nasib sama seperti KYS.

“Jika dibiarkan lama-kelamaan mungkin akan menjadi trend kerana mereka ini semakin berani melakukannya secara terang-terangan,” ujarnya ketika ditemui.

Tambah Khairul Anwar lagi, pihak Global Station dan Astro kesal kerana perkara seperti ini melumpuhkan dan menghilangkan pendapatan penerbit-penerbit filem.

“Kita sedang cuba menaikkan pernerbitan filem ke tahap yang lebih baik, tetapi kejadian ini secara tidak langsung merosakkan usaha kita.

"Selepas seminggu ditayangkan, KYS mendapat sambutan yang agak menggalakkan. Namun apabila ‘bocor’ adakah lagi orang mahu ke panggung untuk menonton?," katanya kesal.

Laporan polis dibuat oleh Adila dan Khairul Anwar di Balai Polis Melawati, Kuala Lumpur pada jam 10 pagi tadi.