Penyanyi dan pelakon Amy Mastura mengakui mendambakan watak yang lebih serius dalam lakonannya.

Menurut Amy, sekarang merupakan masa yang sesuai untuk dia melakonkan watak-watak lebih serius dan memerlukan emosi yang lebih berat.

"Mungkin dulu ramai yang mengenali saya sebagai pelakon komedi tetapi sekarang saya mempunyai impian untuk membawa watak yang lebih memerlukan emosi.

"Bukan memilih tetapi sebolehnya saya ingin membawa watak yang berbeza kerana ia akan mencabar emosi serta potensi diri saya.

"Mungkin ada pengarah atau produser yang berbesar hati ingin merealisasikan impian itu, saya terima dengan hati terbuka," katanya kepada Astro Gempak.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Episod 15 Mencintaimu Mr. Photographer dan Sesi Ramah Mesra bersama peminat, di Cathay Cineplex, E@Curve, Damansara, baru-baru ini.

Tambah Amy, dia bersyukur apabila pertama kali diberi tawaran membawa watak yang agak serius dalam drama Mencintaimu Mr. Photographer.

"Saya sendiri pun tak percaya kerana ada juga orang yang yakin dengan bakat saya untuk membawa watak serius.

"Alhamdulillah, watak yang diberikan itu menerima komen positif daripada peminat," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi