Pelakon Izreen Azminda mengakui lebih bersikap selektif dalam menerima tawaran lakonan yang diberikan kepadanya.

Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 32, berkata, dia bersyukur kerana rezeki dalam lakonan tidak putus-putus namun terpaksa menolak banyak tawaran disebabkan kekangan masa.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih diberi banyak tawaran lakonan dan rezeki saya tidak putus-putus sejak dulu lagi.

"Saya juga minta maaf terpaksa menolak banyak tawaran kerana watak diberikan tidak sesuai.

"Sekarang saya lebih memilih karya yang betul-betul berkualiti kerana tidak mahu 'tangkap muat'.

"Saya juga akan menolak tawaran yang melibatkan penggambaran di luar Kuala Lumpur kerana tidak boleh tinggalkan anak dan ibu dalam tempoh masa yang lama," katanya kepada Astro Gempak.

Izreen berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem Blok 404 yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi