Penyanyi Yunalis Zarai telah mengemaskini status media sosial Tumblr miliknya dengan sebingkis coretan hati yang ditujukan kepada tunangnya, Adam Sinclair.

Menerusi kemaskini sekitar malam semalam, Yuna, 30, berkongsi sebab dia menerima adik kepada Ashraf Sinclair itu dan menceritakan momen indah sepanjang mereka berkenalan.

"Saya jatuh cinta dengan kawan baik saya namun dia tidak pernah mengejar saya.

"Dia tidak pernah membisikkan kata-kata indah ke telinga saya, dia cuma menjawab panggilan telefon apabila saya menghubunginya saja.

"Dia tidak pernah bermegah-megah dengan hubungan kami di sosial media.

"Dia mendahulukan keluarganya, kesihatannya dan kehidupannya berbanding saya.

"Dia tidak pernah cemburu jika saya bercakap atau bekerja dengan lelaki lain, dia biarkan saya belajar.

"Dia tidak ambil pusing tentang 2 juta pengikut saya di Twitter, tetapi dia kenal 10 orang teman rapat saya.

"Dia tidak ingat judul lagu-lagu saya tetapi dia ingat tarikh hari jadi anak-anak saudaranya," tulis Yuna.

Malah tambah penyanyi lagu Terukir Di Bintang itu juga, Adam telah mengubah persepsinya mengenai alam percintaan.

"Selama ini saya fikir lelaki akan meluahkan cintanya dengan pelbagai cara seperti memberikan bunga, surat-surat cinta dan mengorbankan segalanya untuk seorang wanita," kata Yuna lagi.

Adam dan Yuna mula berkenalan sejak awal tahun 2013 ketika terbabit dalam sebuah iklan televisyen.

Pada akhir 2015, mereka mulai rapat dan merancang untuk lebih serius.

Majlis merisik telah diadakan pada 27 Mac 2017 dan pasangan itu selamat bertunang pada hari Sabtu lalu, 5 Ogos 2017.




Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: Yuna Tumblr