Pelakon Ummi Nazeera, 27, akui masih tiada panggilan tetap untuk suaminya, Dr. Mohd. Izzar Anwari Dato' Sri Abdul Khani, 30, walaupun sudah bergelar isteri sejak 23 Julai lalu.

Ummi berkata, dia kini sedang membiasakan diri dengan kehidupan selepas berkahwin.

“Panggilan? Pelbagai sebenarnya, tiada yang tetap. Kadang-kadang baby, kadang-kadang dinda kanda, tak pun sayang.

“Mama saya suruh panggil abang, tapi saya tak tahulah. Sebab saya dah ada abang jadi kalau boleh nak panggil dengan panggilan lain.

“Sejujurnya, saya masih dalam proses membiasakan diri dengan kehidupan selepas berkahwin,” katanya tersenyum.

Ummi ditemui selepas majlis resepinya yang berlangsung di hotel Shangri-La, Kuala Lumpur malam semalam.

Mengulas mengenai kerjaya lakonan, suaminya, Dr. Izzar memberitahu dia tidak akan meletakkan syarat atau menghalang kerjaya isterinya.

“Saya mengenali Ummi pun sewaktu dia bergelar selebriti dan berlakon itu adalah kerjaya dia.

“Lagipun saya sendiri sudah tahu Ummi ini orangnya bagaimana dan dia pun memang menjaga serta memilih watak-watak yang bersesuainya dengan dirinya.

“Jadi saya tiada sebab untuk halang Ummi meneruskan karier. Sebagai suami, saya akan sentiasa menyokong dia dari belakang,” ujarnya.

Ummi dan Dr. Izzar diraikan dalam satu majlis resepsi cukup indah yang bertemakan persandingan dalam taman.

Manakala dua busana cantik yang disarung oleh Ummi pada malam tersebut adalah hasil rekaan pereka fesyen terkenal Indonesia, Tex Saverio dan persalinan kedua oleh pereka tempatan, Fizi Woo.

Seramai 600 tetamu yang hadir dengan memakai pakaian mengikut tema black-tie dan baju kebangsaan.

Teks oleh: Mya Amri