Bersempena cuti hujung minggu, Astro Gempak membawakan segmen terbaru Cerita Pendek Gempak dengan hashtag #GempakShortStories untuk tatapan pembaca.

Menerusi segmen ini, pembaca akan disajikan dengan karya-karya menarik yang menarik.

Oleh itu kami paparkan cerita pendek pertama untuk minggu ini berjudul Boneka, Sejambak Bunga dan Seekor Anjing.

Selamat membaca!

*************************************************************************************

Engkau aku namakan Heptagozt. Jangan ditanya mengapa nama itu dipilih. Engkau tidak patut mempersoalkan apa jua keputusanku ke atas engkau. Engkau adalah boneka yang aku ciptakan untuk tujuan tertentu. Engkau marah. Engkau tidak berpuas hati. Katamu, engkau juga layak untuk memilih jalan kehidupanmu sendiri. Katamu lagi, engkau sudah mampu membuat keputusan dan tidak memerlukan arahanku. Engkau punya kepintaran artifisial. Apa? Engkau tidak setuju? Jangan menidakkan hakikat. Engkau adalah Heptagozt. Dibina dengan teknologi percetakan 3D yang canggih. Aku sendiri yang melakar rekabentukmu setelah membuat pengiraan matematik. Aku rumuskan kesimpulan dalam persamaan demi persamaan yang cukup rumit hingga memenuhi papan hitam ini. Lihat sekelilingmu. Setiap cebisan sampah plastik, gam, cat dan juga pelbagai logam sintetik ini adalah bahan-bahan yang membentukmu. Lihat! Tanganku berotot kekar dan peluh-peluh yang menitik di mukaku ini adalah tanda-tanda kepayahanku membina kamu. Dan engkau persoalkan betapa tulennya kepintaranmu. Aku harap aku mampu mengubah kembali perisian dalam kepalamu tetapi aku terlalu malas untuk itu. Justeru itu, aku akan membaiki sedikit demi sedikit kesilapan tersebut dengan proses kalibrasi nanti.

Tugasan engkau yang pertama adalah pergi ke rumah Maria dan letakkan sejambak bunga mawar yang terletak ayat “Aku merinduimu sepenuh hatiku dari mula waktu hingga ke hujung waktu”. Jangan mencari bunga itu di sini, tak ada lagi. Tadah tangan. Bagus. Dengan wang ringgit yang aku bagi itu, engkau pergi ke kedai bunga selang tiga lorong dari rumah ini. Jangan lupa minta wang baki ya? Dan jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih serta selamat pagi. Ingat, kita berada di negara di mana orang-orangnya berbudi bahasa. Jangan tunjukkan engkau ada pegang wang ringgit yang banyak. Orang-orang ini biarpun berbudi bahasa, bila nampak wang banyak dan peluang merampasnya, mereka akan jadi syaitan secara tiba-tiba. Apa? Engkau tahu akan hal ini? Bagus. Jimat masa aku.

Engkau pakai kot panjang warna coklat. Semburkan haruman Gatsby. Gilap kasut kulit yang telah dipotong siap-siap mengikut saiz kakimu. Berdiri depan cermin dan baiki penampilanmu agar mirip manusia. Jangan memerli tuanmu yang menidakkan sifat manusiawimu tadi. Engkau harus kelihatan manusia kerana orang-orang di luar sana, biarpun berbudi bahasa, mereka akan hilang peribadi mulia itu bila berdepan sesuatu yang berbeza dengan mereka. Engkau pasti tidak mahu ditularkan selaku suatu objek yang diketawakan oleh orang dungu bukan? Pakai topi fedora ini. Ya, raut wajahmu yang kaku seperti boneka itu harus dilindungi kerana orang-orang di luar tidak akan dapat terima kebenaran. Dan lupakan perkataan kebenaran kerana orang gila saja kejar kebenaran. Engkau adalah boneka yang tidak tahu apa-apa yang batil ataupun yang benar.

Dalam masa beberapa minit kemudian, engkau berjalan keluar dari rumah dengan pakaian yang langsung tidak cocok dengan pemakaian orang-orang di sekeliling engkau. Engkau tenang kerana engkau tahu engkau kelihatan segak. Engkau sedar akan mata-mata yang liar memerhati tetapi engkau tahu juga mereka tidak akan mampu berbuat apa-apa. Tiga orang sudah mula mengambil gambar curi. Lalu engkau lambaikan tangan engkau pada mereka. Mereka segan lalu menundukkan muka. Engkau girang kerana berjaya bermain-main dengan perasaan mereka.

Seekor anjing datang lalu menyalak ke arah engkau. Engkau tidak panik. Engkau menganalisa kemampuan anjing itu dan engkau tahu gigitan anjing itu tidak berbahaya sama sekali. Engkau mengacah-acah anjing tersebut. Amboi. Engkau langsung terlupa mahu ke kedai bunga untuk belikan Maria bunga yang aku pesan. Engkau memilih untuk mengejar anjing itu pula. Benar, larian seekor anjing yang lintang-pukang memang melucukan tetapi itu tidak bermakna engkau harus berkelakuan seperti manusia jalang. Cukup. Ah, engkau berlari mengejar anjing sambil ketawa terbahak-bahak. Engkau mengacu-acukan penumbuk ke udara seperti gorila. Topi fedora sudah terlucut di bawa angin lalu digilis kereta. Jaket panjang yang engkau pakai pula ditanggalkan dan dicampak ke atas jalan. Engkau sudah gila. Engkau mahu mematahkan leher anjing itu. Aku tidak akan membiarkan hal itu berlaku. Maka aku tekan butang ini. Ya, engkau sedar akhirnya dan berpatah balik mengutip topi fedora dan jaket tadi.

Heptagozt. Dengar ini, Heptagozt. Perincian data dalam kepala engkau sudah diselaraskan agar tidak bertindakbalas dengan salakan anjing. Tidak perlu semua itu. Teruskan perjalanan. Tiga langkah ke kiri, baik, sedikit ke kanan. Ya, engkau telah berada di laluan pejalan kaki tanpa menyusahkan sesiapa yang lalu-lalang. Pergi ke tengah sebentar. Jangan lupa perhatikan kiri dan kananmu. Ada kereta? Tunggu. Baik, jalan sudah selamat. Kutip kembali topi fedoramu. Tepuk-tepuk sedikit leraikan debunya. Jangan main pakai sahaja, kerana topi itu sudah dicemari kotoran. Sudahlah rosak pada bahagian tengah. Harap engkau tidak memalukan dirimu sendiri. Periksa kembali kocek jaketmu yang kotor. Tepuk-tepuk sedikit. Alamak, kenapa engkau begini? Bukankah engkau tadi berlagak pandai? Mana kepintaran yang hendak engkau pertahankan ketulenannya tadi? Bagus. Sekurang-kurangnya, engkau masih ingat, engkau harus kelihatan segak dan normal. Sekali lagi, aku berpesan, jangan melibatkan diri dengan anjing. Abaikan anjing sama sekali. Anjing liar tak gigit orang dan penakut. Jadi usah memberi tindakbalas yang tidak sepatutnya. Mengerti?

Namun begitu, kini seekor kucing comel mendekati engkau lalu menggesel-geselkan kepalanya pada kaki engkau. Comelnya. Engkau mula meletakkan si kucing comel yang berwarna perang keemasan itu dalam ribaan. Pada mulanya engkau kelihatan penyayang. Dan kenapa engkau berpendapat kucing itu boleh dimuatkan dalam kocek jaket pula? Hei, cukup. Tindakan sebegitu akan membunuh kucing tersebut. Kucing itu mengiau-giau tidak selesa. Engkau masih juga cuba mengasaknya ke dalam poket jaket yang kecil. Di situlah segalanya bertukar hodoh.

Seorang budak lelaki, berumur sembilan tahun dengan pakaian kolar bulat berlogo sembilan dan dengan gaya rambut yang dipotong membentuk huruf sembilan tiba-tiba muncul lalu merampas kucing itu dari kocek seluar engkau. Engkau merengus marah. Engkau mengenggam penumbuk mahu memukul budak itu. Aku tidak dapat membiarkan engkau berbuat kejahatan begitu. Dengan kekuatan yang engkau miliki, engkau akan menyebabkan lehernya patah.

Jauhkan diri, lepaskan kucing comel itu. Kucing itu tidak bersalah. Ya, aku tahu kadangkala kecomelan itu boleh buat orang geram, tetapi engkau adalah boneka dan tindakan engkau itu akan membuatkan kucing itu ketakutan. Kawal gerammu. Kawal amarahmu. Budak nombor sembilan itu bukan lawanmu. Jangan tarik perhatian yang tidak perlu. Engkau harus lindungi identiti selaku boneka. Nampak gayanya engkau hilang kawalan lagi. Kenapa engkau tak nak dengar cakap aku?

Heptagozt? Hei, Heptagozt! Jangan acu penumbuk macam itu. Oh Tuhan, macam jaga budak bermasalah kurang kasih sayang pula. Tengok, budak itu (kucing juga tidak terkecuali) sudah ketakutan. Engkau seperti syaitan di mata mereka. Jangan jadi puaka yang tidak pernah wujud. Jangan Heptagozt! Tindakan kekerasan akan membunuh budak itu.

Tanpa pilihan, aku tekan lagi butang reset. Aku memacu kembali gerak engkau pada tujuan asal. Budak tadi kini terpinga-pinga dengan kucing perang comel mengiau-giau seolah bersyukur ke hadrat Ilahi. Kucing juga boleh berterima kasih pada penyelamatnya, engkau tahu tak? Bila kau nak berterima kasih pada aku, robot tak sedar diri?

Engkau membuat mimik-mimik muka aneh sepanjang perjalanan tanpa toleh ke belakang. Muka ditundukkan supaya siluet fedora lusuh mengaburi perubahan wajah engkau yang aneh dari tontonan umum. Aku berharap tiada lagi binatang yang melintas di depanmu dan merencatkan pergerakanmu. Engkau harus segera tiba ke kedai bunga. Bunga mawar pada pukul 11 pagi tidak sesegar pukul 9 pagi. Ingat itu. Lalu engkau membantah dan berkata bahawasanya bunga tersebut hanya bunga plastik yang disembur pewangi dan beberapa bahan kimia lain yang membuatkannya nampak segar selama seminggu. Benarkah begitu? Engkau sewenang-wenangnya mahu merosakkan rancangan ini. Tahukah engkau, kedai bunga itu menjual bunga-bunga paling segar di Cameron Highland ini?

Tiga tapak lagi dan engkau masih membuat mimik muka ganjil. Aku tahu, engkau memang mahu melatih ekspresi wajah tetapi ini bukan masa yang sesuai. Engkau harus kelihatan normal di depan gadis penjual bunga. Jika tidak berkelakuan normal, mana mungkin gadis penjual bunga akan menjualkan sejambak bunga mawar. Engkau akan dihalaunya. Engkau akan ditangkap polis dan oh Tuhan jika itu berlaku, aku terpaksa mematikan perisian di dalam kepalamu. Proses pemusnahan rekabentuk juga akan berlaku di mana tubuh engkau akan melebur dalam tempoh masa tiga minit. Mana mungkin dibiarkan teknologi dalam tubuh engkau itu diberi pada orang yang salah? Ini adalah salah satu tanggungjawab engkau untuk memastikan teknologi itu tidak jatuh ke tangan orang lain. Semestinya mereka tidak sebijak aku yang berjaya mencipta engkau.

Gadis penjual bunga, tersipu-sipu pula. Dan kenapa engkau membuat senyuman seorang penggoda tersebut? Tidak bolehkah sekiranya engkau memilih jambakan bunga mawar dan membayarnya sahaja pada gadis penjual bunga? Ah, apakah tujuan engkau meminta nombor telefonnya? Adakah engkau beranggapan diri engkau Romeo yang mahu mendapatkan Juliet? Atau engkau fikir ini babak cerita Uda yang mahukan Dara? Dengar sini, Heptagozt. Kisah Romeo dan Juliet mahupun kisah Uda dan Dara, pengakhirannya tragis. Oh, engkau hendak berbicara perihal nasib Zainudin dalam cerita Tenggelamnya Kapal Van Der Wick? Jangan jadi bodoh, Heptagozt. Engkau hanya boneka yang diberi kebolehan berfikir secara artifisial. Jangan babitkan diri dalam gangguan emosi yang sia-sia seperti itu. Engkau hendak selamat? Jalankan urusan engkau terlebih dahulu. Beli bunga itu, dan selitkan kad ucapan yang sudah diletakkan dalam kocek jubahmu. Masa sudah suntuk. Maria mungkin sedang bersiap-siap untuk keluar makan tengahari. Atau ada kawan baiknya sudah mengajaknya untuk minum di kafe mahal sekitar Kuala Lumpur.

Engkau ambil nombor telefonnya dan memilih jambakan bunga yang dikehendaki. Bijak. Mata engkau melilau pula memerhati pakej-pakej yang ada. Engkau mula membelek pasu berisi orkid. Engkau mula acah-acah mencium kewangian bau bunga kekwa. Engkau memang kelakar kerana setahuku engkau tidak dilengkapkan dengan reseptor deria untuk menghidu bauanpun. Usahlah engkau meniru perlakuan manusia sehingga ke tahap ini. Cepat Heptagozt! Masa kian suntuk.

Engkau berjalan dengan sejambak bunga mawar sambil melonjak-lonjak riang hingga ada bunga mawar yang gugur kelopaknya. Ya, engkau girang sehingga mengabaikan setiap arahan yang aku beri. Engkau mahukan suatu kepastian ke atas perasaan yang engkau tanamkan dalam jiwamu yang direka dengan teknologi terkini. Maka dalam perjalanan itu engkau mahu buat panggilan ke atas gadis penjual bunga tadi. Tidakkah engkau tahu, gadis penjual bunga itu seorang isteri kepada lelaki lain? Engkau masih terlalu naif. Kemesraan yang ditunjukkan gadis penjual bunga itu hanyalah kemesraan seorang penjual kepada pelanggannya. Selesai urusan jual beli, maka selesailah di situ. Kemesraan yang berlebihan pula menandakan penjual itu mengharap urusan jual beli yang seterusnya dari pelanggan yang sama. Ini hanya taktik perniagaan, Heptagotz. Usah berangan macam manusia gagal.

Teruskan misimu. Ayuh, jangan berjalan seperti budak kecil dapat gula-gula! Cermatlah sedikit membawa jambak bunga itu. Tolonglah tuanmu ini. Tidakkah dikau simpati dengan tuanmu yang tidak punya keberanian memberikan bunga kepada wanita yang dia sayangi itu? Baiklah, ketawalah sepuas hatimu. Engkau usah lupa, aku punya alat kawalan yang mampu menamatkan riwayatmu semahu hatiku. Hanya sekadar menekan satu butang dan engkau akan berlari seperti orang gila sebelum rentung kepanasan. Adakah engkau tidak takut mati?

Engkau mula patuh. Betapa susahnya mengemudi engkau ya, Heptagozt. Berjalanlah seperti seorang lelaki budiman, postur tegak dan langkah kaki berderapan dibaluti kasut kulit yang mahal itu. Sungguhpun begitu, janganlah begitu statik begini. Engkau harus meniru perlakuan manusia tetapi jangan terlalu menghayati pula. Jika engkau berjaya menghantar bunga ke Maria, engkau akan aku hantar ke toko buku Kinokuniya. Engkau akan memilih beberapa buku sains popular dan membawanya pulang kepadaku. Dalam waktu yang sama, engkau akan membuat imbasan ke atas setiap buku audio yang dijual dan memuat turun setiap maklumatnya. Teruja bukan? Tidak semua kedai buku menjual buku-buku audio. Ada yang menjual buku fizikal semata-mata. Masyarakat masih membaca buku fizikal kerana mereka boleh membau buku seolah buku itu lazat dimakan. Hei, jangan ketawa dahulu. Engkau masih berada selang lima buah rumah lagi sebelum tiba di depan pintu pagar rumah Maria.

Anjing tadi muncul kembali tetapi engkau tetap akur pada arahan. Jambakan bunga mawar dipegang erat. Anjing itu sedang mengonggong patung beruang yang selalu dilihat menjadi peneman Mr. Bean. Engkau pula mula membuat analisa. Ya, patung itu tidak bernyawa. Lalu engkau mempersoalkan kembali eksistensial dirimu. Engkau bertanya apa beza dirimu dengan patung beruang yang digonggong itu. Oh, Heptagozt! Ketahuilah dikau bahawasanya patung beruang itu tiada matlamat apa-apa dalam hidupnya, baik kehidupan artifisial ataupun yang diberi oleh Tuhan. Engkau pula berbeza. Engkau ada matlamat hidup yang telah ditentukan olehku. Usahlah engkau bersimpati dengan patung beruang itu kerana tiada apa sebabpun untuknya dikasihani. Sebelum sempat engkau menamatkan analisa itu, engkau melihat seorang budak perempuan berusia enam tahun sedang berlari-lari mengejar anjing tersebut sambil dituruti seorang wanita dewasa bergaun merah. Engkau cuba memahami situasi itu. Mereka sedang cuba menyelamatkan patung beruang yang tidak bermakna kewujudannya itu dari dirosakkan oleh anjing jahat. Persoalannya, engkau tidak mengerti kenapa aku menidakkan kepentingan patung beruang itu sedangkan dua orang manusia lain sedang gigih menyelamatkan patung tersebut.

Kata engkau, paradoks manusia memang aneh. Dan engkau mencampakkan jambakan bunga tersebut lalu turut mengejar anjing tersebut. Nampak gayanya impianku bersama Maria sudah punah. Itu tidak mengapa lagi. Engkau sedang mengaturcara kaedah pembunuhan anjing jahat tersebut. Biarpun engkau belum melakukannya, aku sudah nampak tatacara pemusnahan tersebut dalam perencanaan tindakan. Engkau harus berhenti. Engkau patut merampas patung itu sahaja tanpa perlu mencederakan anjing tersebut. Berhenti, Heptagozt. Pembunuhan yang mengerikan tidak sepatutnya berlaku. Engkau akan ditohmah dan dilabelkan selaku makhluk ganas nanti. Kenapa engkau tidak mahu berhenti?

Alamak.

Jangan cengkam kepala anjing itu. Tidak! Darah berhamburan! Oh Tuhan! Patung beruang tercampak bersama rahang anjing jahat. Oh Tuhan! Apakah kecelakaan ini? Apakah kesalahanku menciptakan sejenis raksasa tanpa perasaan? Jeritan demi jeritan. Ada orang pengsan. Wanita tadi dan kanak-kanak perempuan terkesima. Tolong jangan regangkan kaki-kaki depan anjing itu. Ya Tuhanku! Dagingnya bertaburan di atas jalan raya. Organnya berhamburan dengan darah memercik ke segenap arah. Engkau tidak mahu berhenti. Aku tiada pilihan lain nampaknya. Butang ditekan. Engkau tidak juga berhenti. Butang perletupan pula ditekan. Dan tiada juga kesannya.

Apa yang sudah terjadi?

Polis mula mengepungmu. Engkau tidak juga berhenti bahkan engkau mula mengeluarkan bunyi haiwan pelik yang menggerunkan. Mungkin ini merupakan satu amaran agar aku tidak lagi menciptakan haiwan pelik sepertimu. Boneka sepertimu tidak patut diberi sifat manusiawi tersebut. Pistol diacu dan engkau mula berhenti lalu mengangkat tangan. Engkau tersengih menampakkan ruang dalam mulutmu yang lohong sesudahnya. Engkau mengangakan mulut dan nyata perbuatan itu menakutkan pihak polis.

Mereka tiada pilihan. Mereka lepaskan tembakan. Peluru menembusi tubuhmu dan engkau kecundang sepertimana anjing yang telah engkau bunuh. Patung beruang di atas lantai dilumuri darah. Dan kelopak bunga mawar yang bertaburan telah dipijak-pijak.

Impianku dan cintaku sudah punah. Sekurang-kurangnya, aku boleh lagi keluar rumah dan mendapatkan Maria untuk menagih cintanya. Engkau pula? Hanya tinggal sejarah yang takkan aku bina semula.