Setelah hampir dua tahun menyepi daripada aktiviti seni, Hafiz Suip, pelantun lagu popular ‘Bahagiamu Deritaku’, kembali mengubat rindu peminat.

Buat pertama kalinya, Hafiz mempertaruhkan lagu bergenre pop, bukan balada seperti yang dinyanyikannya sebelum ini.

Single terbaru berjudul ‘Kejar’ itu merupakan hasil nukilan komposer terkenal tanah air, Audi Mok dengan kerjasama Shazee Ishak sebagai penulis lirik lagu.

‘Kejar’ merupakan eksperimen untuk Hafiz yang ingin mencuba sesuatu yang baru dan mencipta kelainan selepas dua tahun menyepi.

Dilancarkan hari ini, kandungan bait-bait liriknya pula cukup ringkas di mana ia mengisahkan tentang sebuah percintaan luar biasa.

Klik di sini untuk mendengar sedutan lagu ‘Kejar’: [[KEJAR]]

Kepada anda yang ingin melihat ‘behind the scene’ single terbaru Hafiz, jom tengok video di bawah!

Bukan mudah tau...Haaa..tak percaya? Tengok sendiri Hafiz terkucil ke tak!

Buah tangan terbaharu daripada Hafiz ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan akan mula menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan bermula pada hari ini.

Selain ini, lagu ini turut boleh didengari di landasan penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Muzik video lagu ‘Kejar’ ini pula boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran Youtube Rocketfuel Network mulai minggu hadapan.

Mengulas mengenai kemunculan semula beliau menerusi lagu ‘Kejar’, Hafiz berkata dia mahu membuktikan kepada peminaat kebolehannya menyanyikan pelbagai genre muzik.

“Sejak mula saya berkecimpung dalam bidang nyanyian, saya sering membawakan lagu-lagu berentak balada.

"Tidak dinafikan, lagu-lagu tersebut berjaya melayakkan saya meraih pelbagai anugerah seterusnya membantu melonjakkan nama saya dalam industri ini.

"Apabila sebut sahaja nama ‘Hafiz Suip’, peminat akan membayangkan saya membawakan lagu-lagu berentak perlahan yang penuh dengan emosi. Itulah imej saya di mata peminat.

"Namun begitu, sebagai seorang penyanyi, saya ingin mencuba sesuatu yang baru dan perlu sentiasa tampil versatil. Lagi pula, citarasa peminat muzik sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran zaman.

"Saya sedar, untuk terus bertahan dan kekal relevan dalam industri seni yang cukup kompetitif ini, saya tidak boleh sentiasa berada di takuk yang lama.

"Oleh itu, saya kena buktikan kepada peminat kemampuan saya dalam membawakan pelbagai genre muzik," katanya kepada Astro Gempak.