Pengacara program survival popular Law of The Jungle Kim Byung Man dilaporkan mengalami kecederaan tulang belakang ketika menjalani latihan terjunan udara baru-baru ini.

Difahamkan kemalangan itu berlaku ketika Byung Man sedang melakukan sesi pendaratan.

Disebabkan kecederaan itu, Byung Man juga terpaksa menerima rawatan dan menjalani pembedahan di sebuah hospital di Amerika Syarikat.

Menurut agensinya, SM C&C, pembedahan tersebut berjalan dengan lancar dan Byung Man kini sedang menjalani proses penyembuhan.



Dalam pada itu, Byung Man menerusi akaun Instagramnya menyatakan rasa syukur kerana terselamat daripada kemalangan itu dan berterima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kesihatannya.

“Dengan hati yang ikhlas saya ingin berterima kasih kepada peminat yang bimbang dengan keadaan saya dan mendoakan kesembuhan saya.

“Saya berjanji akan kembali semula dengan sihat selepas selesai tempoh berehat dan menjalani latihan fisioterapi,” tulisnya.

Sementara itu, pelbagai spekulasi timbul sejak berita kemalangan Byung Man didedahkan.

Antaranya terdapat khabar angin yang mengatakan Byung Man tidak akan kembali mengacara program Law of The Jungle untuk musim terbaru.



Bagaimanapun, perkara itu masih belum disahkan oleh pihak produksi Law of The Jungle.

“Perkara masih belum dibincangkan secara rasmi sama ada Byung Man bakal kembali atau pun tidak.

“Buat masa sekarang, Byung Man sudah kembali ke Korea untuk meneruskan rawatan dan juga perbincangan mengenai perkara ini.

“Keputusan rasmi mungkin akan diketahui beberapa minggu dari sekarang. Kami mementingkan pendapat Byung Man dan juga doktor yang merawatnya.

“Kami sedang bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku jika dia tidak dapat menyertai program ini kembali,” katanya seperti yang dilapor Allkpop.

Law of The Jungle bersiaran sejak Oktober 2011 dan Kim Byung Man merupakan anggota tetap program tersebut.

Namun disebabkan kecederaan yang dialaminya ini, Byung Man berkemungkinan tidak dapat menyertai Law of The Jungle untuk musim terbaru.