Anak Fauzi Nawawi Tidak Selesa Dikenali Kerana Bapa

25 Oktober 2016. 12.33 PM
54,860
Hiburan
Anak Fauzi Nawawi Tidak Selesa Dikenali Kerana Bapa

Bekas juara program realiti, Fareez Fauzi mengakui tidak mahu dikenali kerana pengaruh bapanya, pelakon Fauzi Nawawi tetapi bakat yang dimiliki.

Fareez atau nama sebenarnya Muhammad Fareez Hazwan, 18, berkata, dia tidak selesa dikenali kerana nama bapanya tetapi akhirnya mengambil perkara tersebut sebagai cabaran.

“Pada mulanya saya tidak selesa dikenali dengan tiket sebagai anak seorang selebriti, tetapi untuk mengelak perkara tersebut memang susah.

“Saya jadikan ia sebagai cabaran untuk terus bertapak di dalam industri, lagipun saya yakin jika saya tidak ada bakat saya tidak akan bergelar juara Mentor.

“Sebelum ini pun orang tidak tahu saya anak Fauzi Nawawi sehinggalah ia diumumkan oleh pengacara program realiti tersebut. Hazama protégé saya, dia pun tidak tahu,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Fareez ditemui ketika menjadi tetamu undangan di Majlis Pelancaran Produk Terbaru MBH Medispa dan Cawangan Terbaru di Shah Alam.


Tambah Fareez, dia bersyukur kerana bapanya sering memberi kata-kata nasihat dan tips untuk terus berjaya sebagai anak seni.

“Ayah selalu pesan supaya saya jaga solat, jangan lupa diri dan sentiasa merendah diri serta menghormati orang yang lebih senior.

“Di rumah ayah seorang yang tegas serta dia akan sentiasa memberi teguran sekiranya kami adik- beradik melakukan kesalahan,” ujarnya.

Apabila ditanya adakah dia akan mengikut jejak bapanya sebagai pelakon, Fareez memberitahu dia pernah berlakon dalam sebuah drama arahan bapanya sebelum ini.

“Ketika saya tingkatan 5 saya pernah berlakon dalam telemovie Ya Solihin arahan ayah. Saya tiada masalah bekerja dengan ayah, cuma berlakon penat.

“Kalau ditawarkan berlakon lagi, saya tiada masalah cuma buat masa sekarang saya mahu fokus kepada nyanyian dahulu,” katanya.

Fareez merupakan anak kedua pelakon Fauzi Nawawi pada perkahwinan pertama.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin





Artikel Berkaitan


Komen