Pelakon popular, Ummi Nazeera, 27, mengesahkan selamat bernikah dengan lelaki pilihan keluarganya, Dr. Mohd. Izzar Anwari Dato' Sri Abdul Khani, 30, dalam sebuah majlis tertutup pada 23 Julai lalu, lebih awal daripada tarikh asal pernikahan itu yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Menurut Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Dato’ Zainulabadin, dia mengambil keputusan untuk mempercepatkan majlis itu bagi menghormati permintaan keluarga.

"Saya mengaku sudah bergelar isteri Izzar sejak 23 Julai lalu kerana menuruti keputusan keluarga agar pernikahan ini diadakan lebih awal daripada tarikh dirancang," katanya.

Menyarung persalinan rekaan Innaired, Ummi ditemui ketika majlis meraikan pasangan itu selamat bernikah dengan dihadiri seramai 200 keluarga terdekat termasuk tetamu kenamaan, Yang Amat Mulia Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah Shah serta isteri, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail di Hotel Le Meridien, Putrajaya hari ini.

Ummi sah diijabkabulkan bersama Izzar yang merupakan seorang doktor berasal dari Kuala Lumpur dengan sekali lafaz pada jam 10.45 pagi di kediaman adik kepada bapa Ummi, Yang Berbahagia Dato’ Aziz Mat Akhir di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Khutbah nikah disampaikan oleh Imam Besar Masjid Wilayah, Dato’ Rashidy Jamil Al-Rashid.
Jumlah mas kahwin dirahsiakan.

Hanya 20 tetamu diundang pada majlis pernikahan mereka.

Turut hadir menyaksikan akad nikah itu ialah bonda Sultan Terengganu, Yang Teramat Mulia Tengku Besar Terengganu Sharifah Nong Fatimah Syed Abdullah Al-Saggof, isteri Aziz, Yang Amat Mulia Tengku Dato’ Rahimah Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah Shah, ibu serta abang Ummi, Dato’ Sri Maziah Musa dan Dato’ Ahmad Nazreem Azrul Hidayat, bapa serta ibu Izzar, Abdul Khani Daud dan Datin Sri Nurah Abdul Rahman.

Ummi menerima tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Kedua mempelai itu merancang untuk berbulan madu di Sabah dan Switzerland tidak lama lagi.
Resepsi persandingan pasangan itu akan diadakan di Hotel Shangri-La pada Sabtu ini dan diikuti di Dewan Bankuet Menara Felda, Persiaran KLCC, 12 Ogos ini.

Mereka mengikat tali pertunangan pada 12 November tahun lalu apabila memasuki usia tiga bulan berkenalan selepas diperkenalkan oleh ibu Izzar pada 29 Januari 2016.

Sementara itu, Ummi bakal muncul dengan filem televisyen terbaharunya, Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia tidak lama lagi, selain melancarkan produk kosmetik, Nazeera Village (NZRA) baru-baru ini.