Selepas 10 hari menjalani program Misi XL Rahim, penyampai radio Sinar, Rahim Sepahtu berjaya menurunkan beratnya sebanyak 16.6 kilogram (kg).

Program dianjurkan Sinar FM itu bertujuan untuk memberi peluang kepada Rahim menjalani gaya hidup sihat disamping menurunkan berat badan daripada saiz XXL kepada XL.

Rahim diberikan masa selama lima minggu untuk menurunkan berat badannya sekurang-kurangnya 25kg.

Berat asal Rahim sebelum menyertai program tersebut adalah 125.4kg dan terkini adalah 108.8kg.

Bukan mudah untuk menjalani program itu kerana Rahim perlu mengawal pemakanannya dan hanya makan makanan tertentu sahaja setiap hari.

Selain mengawal pemakanan, Rahim juga turut menjalani senaman dan latihan setiap hari dibantu oleh dua orang coach iaitu Agam dan Aminah.

Rahim berkongsi 5 tips yang diamalkan sepanjang program tersebut:

1. Elak Makanan Manis dan Masin
"Saya sudah berhenti minum air manis terutama minuman bikarbonat kerana saya tidak ambil gula langsung. Jika saya mahu rasa manis saya akan guna gula stevia sahaja. Kalau pergi kedai mamak, saya akan order air limau tanpa gula dan kemudian memasukan gula stevia yang saya bawa ke mana-mana. Makanan saya pun tiada garam atau perasa langsung,"

2. Tak Makan Nasi
"Saya tak ambil nasi langsung sepanjang program ini. Jika saya mahu sangat makan nasi, saya hanya ambil brown rice sahaja. Brown rice pun saya ambil dalam dua sudu sahaja,"

3. Tidak ambil makanan berminyak
"Kalau saya makan ayam ia hanya direbus atau dibakar sahaja tanpa garam. Selain itu saya juga makan salmon grilled. Protein ini yang memberi saya tenaga kepada saya tiada langsung makanan bergoreng,"

4. Sayur
"Saya banyak makan salad untuk sayur kerana itu sahaja sayur yang tidak perlu dimasak selain ulam-ulaman,"

5. Lari 3km setiap hari
"Setiap hari saya akan berlari sekurang-kurangnya 3 kilometer (km). Selain berlari saya juga perlu melakukan beberapa senaman yang dibantu oleh coach seperti lompat bintang, sit-up, pumping dan sebagainya yang mengambil masa selama 2 jam,"